23 August 2021

SYAMEL BERSYUKUR HASRAT ARWAH IBU MAHU KELUARGA URUSKAN JENAZAHNYA TERCAPAI



"Selepas urusan mandi dan kafan dilakukan di hospital, jenazah umi dibawa ke surau berdekatan di kawasan kediaman untuk mendirikan solat jenazah. Kemudian dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Alam Damai, di sini dan selamat dikebumikan pada jam 11 pagi tadi. Alhamdulillah rezeki perjalanan umi dipermudahkan.

"Semua proses berlangsung dengan cepat termasuk hasrat untuk semua keluarga uruskan jenazahnya tercapai," kata penyanyi Syamel yang meluahkan rasa syukur apabila hasrat arwah ibu tercinta, Wan Faaizah Karim, 55, yang mahukan ahli keluarga menguruskan jenazahnya tercapai.

Syamel atau nama sebenarnya Syameel Aqmal Mohd Fodzly berkata, dia berkesempatan memandikan dan mengkafankan jenazah ibunya yang menghembuskan nafas terakhir jam 10.09 malam tadi.

Menurut Syamel, dia mengakui sedikit terkilan apabila tidak dapat bercakap dengan Allahyarham ibunya yang terpaksa ditidurkan berikutan masalah kekurangan oksigen dalam badan di sebuah pusat perubatan di ibu negara sejak hampir sebulan lalu.

Klik untuk gambar besar



Syamel yang juga anak sulung daripada tiga beradik berkata, ibunya seorang yang meriah dengan pesanan dan berharap segala peringatan baik yang disampaikan menjadi bekalan untuk dirinya.

"Melihat keadaan orang yang kita sayang ditidurkan hampir sebulan dan menerima rawatan di hospital selama dua bulan sememangnya perasaan itu sukar untuk saya ungkapkan. Sudah tentu saya sedih kerana tak dapat bercakap dengannya. Walaupun ada terdetik rasa terkilan, tapi selepas memikirkan segala kasih sayang yang dicurahkan dan tanggungjawab yang saya berikan sebagai seorang anak, saya reda dan kuat.

"Malah, ketika hayatnya saya juga rasa tidak pernah menyakitinya dan apabila mengenangkan segala kebahagiaan yang kami lalui bersama, saya rasa terubat. Saya reda dengan pemergian umi. Kita hanya mampu ikhtiar dan usaha namun semuanya sudah ditetapkan apabila umi menghembuskan nafas terakhir semalam," tuturnya.



"Umi saya ini penuh dengan pesanan. Kalau sesiapa yang mengenali dia pun memang tahu dia meriah dengan pesanan. Inikan pula untuk anak-anak dia sendiri. Pesanan yang selalu dia sampaikan tak lain tak bukan adalah peringatan untuk kita menuju ke syurga. Segala-gala yang baik seperti solat, amalan zikir, buat perkara baik itu antara peringatan yang tidak akan pernah lekang daripada bibirnya.

"Apabila kita buat setiap apa yang dia ajar, kita akan terkenangkan dia dan hampir keseluruhan yang saya buat ada kena mengena dengan arwah dan berharap ada bahagian yang baik buat dia di sana," katanya. Semalam, suami kepada penyanyi Ernie Zakri itu berkongsi khabar duka apabila ibunya menghembuskan nafas terakhir pada jam 10.09 malam selepas terpaksa ditidurkan berikutan masalah kekurangan oksigen dalam badan.

Terdahulu, Allahyarham dirawat di sebuah pusat perubatan di ibu negara hampir sebulan lalu. Syamel menafikan ibunya dijangkiti Covid-19 dan tidak pernah mengalami masalah kesihatan serius, malah tidak pernah dimasukkan ke hospital sepanjang hayatnya.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: