13 August 2021

TAK AKAN BASUH TELEKUNG - SHUIB MAHU DIBERI PELUANG MIMPIKAN ARWAH ISTERI



Pelawak dan ushawan Shuib Sepahtu tidak putus berdoa supaya isteri tercinta, Allahyarham Siti Sarah hadir ke dalam mimpinya. Ini kerana kata Shuib, memasuki hari kelima pemergian Siti Sarah, hanya anak ketiganya, Ariq Matin, 6, yang berpeluang bermimpikan Allahyarham ibunya.

"Saya belum diberi peluang mimpikan arwah. Ketika sedang mandikan Matin (semalam), tiba-tiba dia berkongsi malam tadi dia mimpikan ibunya. Dia beritahu dalam mimpi itu ibunya datang membawa adik bongsunya, Ayash Affan dan arwah beri dia pegang adiknya. Tapi arwah hanya diam saja dalam mimpi itu," katanya pada majlis tahlil dan bacaan Yassin secara virtual malam tadi.

Menurut Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, sebaik mendengar cerita Matin, dia meminta anak ketiganya itu mendoakan agar dia turut berpeluang merasai nikmat sama.

"Saya beritahu Matin kalau dia mimpi ibunya lagi, tolong beritahu supaya masuk ke dalam mimpi daddy. Saya rindu sangat nak jumpa dia. Saya reda dan sangat berlapang dada dengan ketentuan ini. Cuma rindu yang masih bertandang dan saya percaya waktu akan menjadi ubat.

Klik untuk gambar besar



"Setiap kali rindukan arwah, saya pasti akan mendengar lagu-lagu nyanyiannya sebagai ubat. Ada sekali saya bertanya kepada bapa mentua untuk mendengar sama tapi dia beritahu dia tidak kuat untuk mendengar suara arwah buat masa ini.

"Saya beritahu ini saja kenangan yang kita ada. Jadi bila rindu saya dengarlah lagu nyanyiannya kerana arwah memang suka menyanyi," ujarnya.

Sementara itu, Shuib, 37, berkata, telekung kegemaran yang selalu dipakai Allahyarham isterinya itu dianggap peninggalan paling berharga. Kerana itu, Shuib tidak akan membasuh telekung tersebut.



"Favourite telekung ever (telekung paling digemari). Jadi, memang tidak akan dibasuh. Dia memang suka telekung ini dan jarang pakai telekung lain. Alhamdulillah, sekurang-kurangnya ada peninggalannya. Insya-Allah akan mengikut ke mana-mana," tuturnya.

Dalam masa sama, Shuib turut berkongsi bagaimana dia kini menyesuaikan diri dengan ketiadaan isteri di sisi yang meninggal dunia, Isnin lalu. Menurut Shuib, semua yang berlaku umpama mimpi, namun dia sudah mula membiasakan diri.

"Apabila saya bangun dan buka mata, turun bawah (rumah), saya sedar semua ini bukan mimpi, ini betul. Dia sudah tiada. Ini kerana kita tahu kalau orang itu jauh, dia masih di Malaysia, masih boleh jumpa. Namun, Siti Sarah sudah tiada di muka bumi ini," tambahnya.





         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: