09 August 2021

"WAJAHNYA KOSONG, MASIH SUGUL... TULANG BELAKANG DIA PERGI" - RAHIM DOAKAN SHUIB KUAT



"Tadi sebelum dia memakai PPE, saya lihat wajahnya kosong, dia masih dalam keadaan sugul. Setiap kali menceritakan kisah Sarah, air mata berlinang. Setiap kali bercakap dengan rakan-rakan pasti air matanya akan berlinang keluar. Dia tak tahu apa yang perlu dilakukan selepas ini. Saya pun dapat merasakan kepedihan itu.

"Tak dapat saya bayangkan kalau saya berada di tempat Shuib. Saya doakan urusan dia dan anak-anak dipermudahkan. Orang yang jadi tulang belakang dia selama ini pergi. Allah sayang dia. Pemergian Sarah yang merupakan tulang belakang keluarga begitu cepat dan pantas. Moga Shuib kuat untuk menghadapi semua yang berlaku. Anak-anak perlukan dia.

"Saya percaya dan yakin Allah mahu berikan sesuatu yang terbaik buat Shuib. Saya tahu ujian yang diberikan ini berat dan tak semua orang boleh menerima dan menghadapinya. Shuib seorang yang sangat kuat," itulah kata pelawak Rahim R2 mengenai sahabat baiknya, pelawak Shuib Sepahtu ketika ini yang masih dalam keadaan sugul dan bersedih atas apa yang berlaku.

Rahim ketika ditemui media di pekarangan Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Pusu, Gombak, Selangor berkata, dia percaya Allah SWT mahu memberikan sesuatu yang besar buat sahabat baiknya, Shuib yang baru kehilangan isteri tercinta, Allahyarham Siti Sarah Raissuddin hari ini. Rahim juga percaya dan yakin ada hikmah tersirat yang bakal diturunkan Allah kepada Shuib dan keluarganya kelak.

Klik untuk gambar besar



Dalam pada itu, Rahim atau nama penuhnya Rahim Mat Ali, 50, memberitahu sepanjang mengenalinya, arwah Siti Sarah, dia mennyifatkan isteri Shuib itu seorang yang tinggi adab dan pekertinya. Kata Rahim, arwah Siti Sarah juga seorang yang mudah didekati dan menghormati orang lain.

Bahkan, ujar Rahim, apa yang dikaguminya mengenai Siti Sarah ialah, Allahyarham sentiasa berada di belakang suaminya menyokong setiap usaha Shuib.

"Bila saya berkawan dengan suami dia, isterinya adalah kawan baik saya dan sepanjang perkenalan kami memang seorang yang mudah didekati, penuh dengan adab, berbudi Bahasa. Allahyarham sentiasa berada di belakang Shuib memberi sokongan moral kepadanya," ujarnya.


Tambah Rahim, seperti yang diketahui ramai, Shuib dan isterinya merupakan pasangan yang ideal dan sering berdua-duaan ke mana-mana sahaja. Selain mengenali Siti Sarah sebagai seorang yang berperibadi menawan, sifat pemurah Allahyarham dan suaminya juga sangat dicemburui Rahim.

Justeru, jelasnya, dia tidak terkejut kerana ramai orang tidak putus-putus mendoakan Siti Sarah ketika Allahyarham sedang bertarung dengan nyawa sehinggalah jenazahnya dibawa ke liang lahad.

"Sebab tadi masa saya sampai (ke tanah perkuburan) saya cari Shuib sebab muka dia kosong, sugul, sedih bila dia bercakap saja berlinang air mata, jadi saya sebagai kawan rapat turut rasa kesedihan itu. Tidak terkejut ramai orang mendoakan dia (Allahyarham Siti Sarah). Sebab mereka ini suami isteri orang baik, masa saya turut sama menyempurnakan jenazah tadi, Alhamdulilah cuaca pun memudahkan.

"Saya juga mendoakan agar Shuib terus kuat, masih lagi ramai perlukan dia, anak-anak dia, staf dia, dia kena kuat. Saya doakan agar segala urusan dia dipermudahkan. Saya yakin, segala dugaan ini adalah harga yang perlu dibayar untuk hikmah yang akan datang," jelas Rahim lagi.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: