28 September 2021

PASRAH SEMINGGU BERPISAH - FATIN TAK BERANI HANTAR ANAK-ANAK KE SEKOLAH



Demi mengelak sebarang perkara tidak diingini berlaku, pelakon Fatin Afeefa memilih untuk berpisah buat seketika dengan dua anak-anaknya dan ia merupakan jalan terbaik.

Ujar Fatin atau nama sebenarnya Fatin Nur Afifah Shamsudin, 27, dia yang akan mula memasuki set penggambaran sebuah telefilem tidak mahu mengambil risiko memandangkan kes harian Covid-19 masih tinggi.

"Bermula Jumaat ini saya terlibat dengan penggambaran satu telefilem, jadi akan hantar anak-anak ke rumah ibu. Bagi mengelakkan sebarang kemungkinan, saya tidak akan jumpa mereka sepanjang penggambaran berjalan selama seminggu.

"Saya memang akan lebih berhati-hati, kalau mereka dijangkiti disebabkan saya, saya tak boleh maafkan diri sendiri. Anak saya ada dua orang saja, jadi tak mahu la terjadi apa-apa. Lepas penggambaran habis dan keputusan ujian Covid-19 negatif, barulah saya akan kembali kepada mereka," katanya.

Klik untuk gambar besar



Fatin sebelum ini pernah berkahwin dengan pelakon Adam Shahz pada 21 Disember 2013 dan bercerai dengan talak satu pada 30 Mei 2017. Hasil perkahwinan tersebut, mereka dikurniakan seorang cahaya mata iaitu Ivy Herra Sophia yang kini berusia enam tahun. Sementara Adam Aisy Arrian, 9, merupakan anak sulung Fatin sebelum bernikah dengan Adam Shahz.

Mengulas lanjut tentang keselamatan dua cahaya matanya itu, Fatin berkata buat masa ini dia juga tidak berhasrat untuk menghantar mereka ke sekolah sehingga keadaan bertambah baik.

"Apabila saya dengar sekolah nak buka semula, saya pilih untuk tidak hantar anak-anak ke sekolah buat masa ini. Lagi pun belum semua cikgu sudah lengkap vaksin. Kalau ada maklumat kata cikgu semua sudah lengkap vaksin, baru saya berani untuk lepaskan anak-anak ke sekolah," ujarnya.



Bercerita tentang kerjaya seni, Fatin berkata dia mengambil pendekatan lebih berjaga-jaga dalam menerima tawaran lakonan demi keselamatan diri dan keluarga biarpun kerajaan membenarkan industri kreatif beroperasi.

"Sekarang ini pun saya masih tunggu jumlah kes Covid-19 turun. Walaupun sudah ada kelonggaran tapi masih belum betul-betul selamat. InsyaAllah apabila keadaan dah okay, barulah saya akan ambil beberapa tawaran yang lain.

"Memang saya tidak berani walaupun sudah lengkap dua dos vaksin... saya ada dua orang anak yang masih kecil dan ibu pun sudah berusia. Jadi saya takut kalau-kalau jadi pembawa pula," jelasnya.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: