"Permintaan tawaran untuk Aleesya beraksi di hadapan kamera memang ada saja diterima. Ada yang berminat nak dia muncul buat iklan. Tapi, saya tak boleh buat keputusan itu sendiri tanpa berbincang dan mendapat 'lampu hijau' daripada bapanya. Sekarang, selagi Aleesya belum boleh buat keputusan sendiri, saya tidak akan membawa dia ke depan lagi.
"Biarlah dia yang menentukan apa minat dan kesukaannya, manakala saya akan menyokong saja," kata pelakon dan penyanyi, Erra Fazira, 47, yang mengakui anak tunggalnya, Engku Aleesya Engku Emran, 11, memang ada mendapat permintaan untuk terbabit dalam kerjaya seni termasuk berlakon iklan.
Bagaimanapun, Erra atau nama sebenarnya, Fazira Wan Chek berkata dia kena terlebih dulu berbincang dengan bekas suami bagi mendapatkan kata sepakat seterusnya 'lampu hijau' sebagai kebenaran. Menurut 'primadona' filem Melayu ini, dia tidak akan menyekat apa saja kerjaya diminati anak perempuan kesayangannya itu pada masa akan datang, meskipun mengikut jejak sebagai anak seni suatu hari nanti.
Klik untuk gambar besar
"Sebagai ibu moden yang berkerjaya, saya sejujurnya lebih selesa menyokong segala minat anak dan tidak meletakkan kerjaya tertentu untuk dipilihnya. Bagi saya, dia berhak buat keputusan mengikut apa minat dan kesukaannya. Untuk Aleesya, saya akan sokong semua yang dia minat dan tidak akan mengawalnya.
"Begitu juga jika dia berminat menceburi kerjaya seni suatu hari nanti, saya tidak akan menghalang tetapi memantau saja. Apapun setiap keputusan membabitkan Aleesya sekarang, saya dan bapanya kena berbincang dan mendapat kata sepakat. Sekiranya pihak sana (bekas suami) okey dan beri 'lampu hijau, saya tiada masalah," ujarnya lagi.
________________________
No comments:
Post a Comment