"Sebelum kejadian saya bersama empat lagi rakan mendaki bukit di kawasan Sungai Batangsi sekitar jam 9 pagi. Dalam kejadian jam 1.30 petang itu, kami dalam perjalanan turun ke sebuah sungai untuk melihat keindahan di sana. Namun disebabkan tanah yang licin kerana hujan sehari sebelumnya, saya terjatuh dan tergolek.
"Saya sedar saja kaki saya sudah terkulai dan tidak boleh bergerak. Kecederaan yang dialami nampak macam ringan, tapi saya dengar bunyi patah di bahagian kaki. Mujurlah ketika kejadian salah-seorang rakan membawa kereta dan bergegas membawa saya ke Hospital Kajang untuk menerima rawatan.
"Kalau tidak, memang terpaksa hubungi bomba," cerita penyanyi Azlan Typewriter mengenai kejadian malang yang menimpa dirinya apabila mengalami patah kaki kiri selepas terjatuh ketika menyertai aktiviti mendaki di Sungai Batangsi, Semenyih, Selangor, semalam.
Klik untuk gambar besar
Azlan atau nama sebenar Nor Azlan Rosle Sallehudin, 39, berkata, semasa kejadian dia bersama lima sahabatnya sedang menuruni bukit berkenaan. Tambah Azlan, akibat terpijak kawasan tanah licin dia gagal mengawal diri hingga menyebabkan dia terjatuh.
Menurut Azlan, doktor memaklumkan buku lali dan tulang pada bahagian belakang kaki kirinya patah menyebabkan dia perlu menjalani pembedahan penyambungan tulang menggunakan implan bagi memulihkan kembali struktur tulang yang terjejas.
Bagaimanapun, penyanyi lagu 'Jangan Khianati Aku' ini masih lagi memikirkan mengenai rawatan itu memandangkan keadaan kakinya masih sakit dan tidak boleh digerakkan seperti biasa.
"Doktor minta saya ke hospital semula dalam masa terdekat. Doktor ada bagi cadangan lakukan pembedahan kecil pada bahagian tulang itu tapi sejujurnya kalau boleh saya tak mahu la... minta dijauhi sebab masih sakit lagi ni. Sekarang ni makan ubat yang doktor beri sahaja dan rehat di rumah dulu. Nak betul-betul pulih mungkin ambil masa berbulan juga ni tapi benda dah nak jadi nak buat macam mana.
"Buat masa ini, doktor hanya balut kaki saya dulu. Lagi tiga hari saya perlu ke hospital semula untuk memasang implan dan melakukan pembedahan. Kalau boleh saya tak nak melakukan pembedahan, tapi apapun saya tunggu temujanji bersama doktor nanti dan meminta nasihatnya.
"Saya harap kepada pendaki di luar sana supaya berhati-hati dalam keadaan sekarang ini kerana struktur tanah yang licin kerana musim hujan. Saya juga bersyukur kerana tidak mengalami kecederaan yang serius. Nasib baik ada kawan-kawan pada ketika itu dan mereka banyak membantu," katanya.
________________________
No comments:
Post a Comment