08 September 2021

ANAK KEDUA SHAHROL SHIRO HIDAP BUAH PINGGANG KRONIK - ISTERI MOHON DOA



Anak kedua kepada pelawak Shahrol Shiro iaitu Ismail Rifqi dimaklumkan oleh doktor keadaan kesihatannya semakin membimbangkan selepas buah pinggang bayi berusia lapan bulan itu mengalami masalah dan sudah berada di tahap kronik.

Isteri Shahrol iaitu Nor Farhanah Syamimi atau lebih mesra disapa Anna berkata anak kedua mereka itu memerlukan rawatan segera selepas kedua-dua buah pinggangnya rosak dan membengkak.

"Pada Isnin lalu, hasil ujian dan pemeriksaan pakar mendapati buah pinggang Ismail belah kanan sudah tiada, manakala buah pinggang Ismail sebelah kiri pula sudah bengkak.

"Kata doktor Ismail perlu mendapatkan rawatan secepat mungkin memandangkan dia hanya ada satu buah pinggang dan buah pinggang yang ada pun bengkak.

Klik untuk gambar besar



"Memang terkejut dan sedih apabila mendapat keputusan itu. Luluh hati bila dapat tahu buah pinggang Ismail mengalami kerosakan dan sudah teruk," katanya.

Sementara itu, Anna berkata dia mula mengesan sesuatu yang tidak kena terhadap kesihatan anaknya apabila Ismail sering demam dan terdapat sesuatu yang tidak normal pada air kencing. Bimbang keadaan menjadi lebih teruk, Anna dan suami mengambil keputusan melakukan pemeriksaan lanjut di hospital.

"Dia selalu demam on off... kalau tengok secara fizikal dia nampak macam sihat sahaja tapi naluri ibu kita rasa macam ada yang tak kena. Apabila tengok dia asyik tak sihat, kami bawa dia bertemu pakar dan buat pemeriksaan lebih menyeluruh. Sekarang ini Ismail dimasukkan ke sebuah hospital di Johor dan sedang menerima rawatan antibiotik," jelasnya.



Dalam pada itu, Anna turut memohon orang ramai mendoakan agar anaknya itu segera sembuh dan diberikan kekuatan untuk terus melawan penyakit.

"Mohon jasa baik dari kalian untuk mendoakan kesihatan anak Anna. Doakan semoga Ismail cepat sihat dan dipermudahkan segala urusan kami. Mana tahu atas sebab doa kalian Allah angkat dan makbulkan untuk anak Anna. Selitkan nama anak Anna dalam setiap solat dan doa kalian... semoga Allah balas semua jasa baik kalian," tuturnya.

Untuk makluman, Shahrol dan Anna berkahwin pada 18 Mac 2016. Selain Ismail, pasangan ini dikurniakan anak sulung lelaki bernama Iskandar Rizqi berusia empat tahun. Shahrol juga mempunyai seorang anak lelaki, Muhd Adam hasil perkahwinan terdahulu.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: