12 September 2021

BADROL SHAH: "SETIAP MALAM MEREKA PASTI AKAN MENATAP GAMBAR UMMI..."



Selepas kematian isteri, Allahyarham Farah Shila Mazlan pada 26 Ogos lalu, pelakon Badrol Shah atau Bad mengakui memikul tanggungjawab besar sebagai bapa dan ibu terhadap empat anaknya.

Bad, 39, yang popular menerusi filem 'Busut Bonang' itu ketika dihubungi berkata, dia sedaya upaya memastikan yang terbaik buat anak-anak yang masih merindui 'ummi' mereka.

"Setiap malam mereka pasti akan menatap gambar ummi mereka. Malah, saya juga akan bawa mereka pergi kubur sebagai cara untuk menghilangkan rindu. Saya kena teruskan perjuangan hidup demi anak-anak.

"Saya turut menasihati dan mengajar mereka perkara baik-baik. Saya sentiasa ingatkan agar selalu berdoa untuk arwah ummi mereka, sebab kalau kita sedih dan asyik menangis ummi pun akan menangis di sana nanti," ujarnya.

Bad memastikan akan mengajar anak-anaknya mengaji setiap malam, memantau pelajaran mereka secara sesi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) dan memujuk anak-anak setiapkali mereka sedih.

Klik untuk gambar besar



"Saya minta mereka berdoa agar 'di sana' nanti kami semua dapat jumpa ummi semula. Jadi mereka boleh terima. Mengenai perasaan sendiri, saya kena sentiasa bersabar dan pegang amanah Allah untuk sentiasa mendidik anak-anak hingga akhir hayat," katanya.

Nama Bad menjadi tumpuan apabila dia menerusi media sosial memaklumkan isterinya disahkan meninggal dunia pada 10 Ogos lalu. Namun, pada hari sama dia tampil membetulkan keadaan apabila memberitahu berlaku salah faham dalam perkara itu.

Memandangkan tiada aktiviti penggambaran, Bad kini meneruskan kerjaya tetapnya sebagai pemandu grab: "Saya kena cari rezeki buat anak-anak terutamanya untuk susu, makan dan kelengkapan pembelajaran mereka. InsyaAllah rezeki ada saja di mana-mana.

"Semasa isteri masih ada, gajinya RM600 sebagai guru sekolah agama. Dia pula ada sakit asma kritikal, kanser darah tahap tiga dan jantung tahap tiga. Kos perubatan untuk dia masuk darah dan cuci darah memang tinggi.



"Sekurang-kurang RM5000 sebulan kena ada, termasuk untuk bayar sewa rumah Projek Perumahan Rakyat (PPR) RM124 sebulan, manakala sewa kereta grab sebulan RM1600," katanya.

Dia juga perlu menyediakan susu anak kecilnya berharga RM180 setin yang keseluruhannya memerlukan empat tin sebulan: "Susu ini adalah saranan doktor pakar Hospital Kuala Lumpur. Itu sebabnya saya kena ada kewangan yang cukup. Bagaimanapun, Alhamdulillah dengan segala rezeki yang saya dapat.

"Bahkan, saya sentiasa amalkan bersyukur dengan apa yang ada. Namun, saya berasa amat bersyukur lagi sekiranya ada mana-mana pihak sudi menghulurkan bantuan.

"Apapun, saya beruntung kerana anak sulung yang berusia 12 tahun, sudah boleh jaga adik-adik yang lain ketika saya bekerja. Dia memang dah diajar berdikari untuk memasak dan buat pelbagai kerja rumah yang lain," tuturnya.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: