14 September 2021

BAPA AZZAM SHAM PULIH - KINI TUNGGU IBU & ADIK PULA BALIK RUMAH



"Alhamdulillah ayah saya baru balik ke rumah, Sabtu lalu. Cuma, sekarang kami menunggu ibu, Yusnita Yusop, 45, dan adik, Siti Nurazwani, 17, dibenarkan balik ke rumah pula. Insya-Allah, dalam beberapa hari lagi mungkin mereka akan dibenarkan pulang ke rumah. Semuanya bergantung pada tahap kondisi kesihatan mereka terutama ibu saya.

"Ini kerana, ibu ada mendapat bantuan oksigen kerana masalah pernafasan dialami. Bagaimanapun, Alhamdulillah keadaan ibu dimaklunkan semakin okey dan saya amat bersyukur," kata penyanyi Azzam Sham, 24, yang lega apabila ibu bapa dan adik perempuannya yang disahkan positif Covid-19, baru-baru ini sudah semakin sembuh.

Azzam ketika dihubungi berkata, dia amat bersyukur apabila bapanya, Lop Hisham Piai, 53, sudah pulang ke rumah kelmarin selepas dirawat selama 12 hari di pusat kuarantin Covid-19 sejak 31 Ogos lalu.

Terdahulu, ibunya dirawat di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) 2.0 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) pada 31 Ogos lalu bersama bapa, sebelum diikuti adik, Siti Nurazwani pada 6 September lalu di pusat kuarantin sama.

Klik untuk gambar besar



Azzam atau nama sebenarnya Muhammad Azzammuddin Lop Hisham mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua yang sudah mendoakan kesihatan ahli kekuarganya pulih daripada Covid-19.

Sebelum ini, Azzam bersama empat lagi adiknya iaitu Muhammad Azim Ramdan, 22, Intan Noraziean, 21, Muhammad Azryzham, 14 dan Nur Azreen Yusrina,10, yang negatif hanya menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Tanbah penyanyi lagu 'Cinta Jangan Pergi' dan 'Biar Saja' itu, kini kita semua kena peka dengan Covid-19 yang sudah ada di dalam komuniti. Katanya, mujur juga ibu bapanya sudah mendapatkan vaksin lengkap Covid-19 dan mereka mengalami gejala ringan selepas dijangkiti.

"Jagalah prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan walau di mana saja berada terutama penjarakan fizikal dan elak bersentuhan. Saya doakan kita semua sentiasa di dalam perlindungan Allah SWT," ujarnya.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: