04 September 2021

BEKAS PA SERIUS MAHU MEMINANG VIDA: "SAYA NAK ANAK, DIA SANGGUP BUAT UJIAN..."



"Saya dah fikir masak-masak! Saya tak mahu main-main dengan perasaan ini terlalu lama. Saya merancang nak merisik dan meminang dalam masa terdekat. Saya pun sudah menghubungi kakaknya di kampung dan beritahu mengenai niat ini.

"Cuma bila waktunya saya tak boleh nak bagi kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyukarkan keluarga untuk bertemu tapi kalau boleh minggu depan saya nak hantar rombongan.

"Saya dah cakap dengan Vida, dia faham maksud saya tapi dia minta ikut adat sebab dia perempuan, jadi lebih elok kalau jumpa keluarganya dahulu... saya pun tak nak buang masa dah.

Klik untuk gambar besar



"Dah dua kali DSV buat ujian kesuburan... Alhamdulillah dia boleh hamil lagi. Itu satu berita yang baik untuk kami jika berkahwin, sekurang-kurangnya nanti kami boleh timang anak.

"Saya berkahwin sebab memang nak anak dan dia sendiri sanggup buat ujian untuk memastikan dia masih boleh mengandung, saya kira itu satu pengorbanan besar untuk saya. Tapi dalam masa sama terdetik juga rasa kasihan kerana dia perlu mengandung lagi di usia begini.

"Namun dalam sesebuah perkahwinan semestinya soal zuriat juga penting," itulah kata bekas pembantu peribadi (PA) kepada Datuk Seri Vida (DSV) iaitu Ahmad Iqbal Zulkefli yang merancang meminang jutawan kosmetik itu dalam masa terdekat.



Menurut Iqbal, 27, dia serius mahu melangkah ke fasa baharu kehidupan dan enggan membuang masa bermain cinta dengan bekas majikannya itu.

Sebelum itu, menerusi Instagram Vida ada berkongsi rakaman panggilan video bersama Iqbal yang dilakukan baru-baru ini. Menerusi rakaman tersebut, Iqbal mengakui terlalu merindui jutawan kosmetik itu dan mahu meneruskan hubungan mereka ke fasa baharu.

Sementara itu, Iqbal yang juga merupakan usahawan produk wangian berkata dia lega apabila Vida disahkan oleh doktor masih subur dan boleh mendapatkan zuriat.


Dalam pada itu, Iqbal menafikan dia dan Vida menjaja kisah cinta ini sebagai gimik untuk melariskan produk jualan mereka: "Semua yang kami kongsi di media setakat ini benar cuma DSV biasalah, tidak boleh lari daripada menjual produk.

"Saya minta dia perlahankan sikit menjual tapi dia kata itu dah sebati dengannya. Tapi saya mahu orang ramai tahu, luahan perasaan saya ini adalah benar. Saya tak boleh nak simpan perasaan yang dah lama terbuku dalam hati ini," ujarnya lagi.

Terdahulu, Iqbal mendedahkan dia dengan Vida atau nama sebenar Hasmiza Othman, 49, hampir berkahwin pada tahun 2018. Namun perancangan mereka itu tidak kesampaian atas sebab-sebab tertentu.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: