16 September 2021

"DALAM SEHARI DUA LAGI KAMI AKHIRNYA DAPAT PINDAH KE BALI" - NOURUL DEPP



"Alhamdulillah, dalam sehari dua lagi kami akhirnya dapat pindah ke sana (Bali). Kami diberitahu, kerajaan Indonesia sudah membuka semula kemasukan tapi masih menunggu tarikh untuk terbang.

"Difahamkan, mereka juga sedang mempersiapkan sistem keselamatan di lapangan terbang mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ketat. Baguslah kerana mereka betul-betul menitikberatkan aspek itu.

"Semestinya, saya lega dan gembira sebab sudah boleh masuk mengikut visa kami. Lebih sebulan kami tertunggu-tunggu tanpa sebarang kepastian, memang tak keruanlah jadinya.

"Sepanjang menunggu dari 22 Julai lalu, setiap minggu rasa berdebar sampai rasa tertekan juga. Ramai yang nak masuk sebab berpindah dan bekerja, terkandas.

"Walaupun emosi agak terganggu juga sebab banyak hal tergendala, kami cuma tawakal dan tabahkan hati. Kami fikir mungkin Allah memang nak selamatkan kami daripada wabak ini," ujarnya.

"Gementar campur teruja apabila memikirkan untuk sesuaikan diri di tempat orang. Apapun, saya 'go with the flow' saja dan jadi diri-sendiri di sana nanti," kata penyanyi Nourul Depp, 42, yang memanjatkan kesyukuran dan lega diberitahu Indonesia sudah membenarkan kemasukan ke sana selepas hasrat keluarganya berpindah ke Bali pada Julai lalu terbantut.

Klik untuk gambar besar



Nourul mengakui rasa tidak keruan selama lebih sebulan akibat masih terkandas dalam negara kerana Indonesia menutup sempadan susulan situasi pandemik Covid-19 tambah membimbangkan.

Penyanyi lagu 'Kerana Terluka' itu mendedahkan, mereka sekeluarga terpaksa bersabar dan berdoa selama lebih sebulan ini agar urusan perpindahan ke sana dipermudahkan.

Dalam pada itu, Nourul mengakui agak gementar untuk mula berkelana di negara orang. Namun baginya, pengembaraan itu pasti mengujakan kerana dia sendiri ingin cuba angin berbeza di tempat baharu.

Pada Jun lalu, Nourul atau nama sebenarnya Noorulhuda Abdul Wahab memaklumkan mereka sekeluarga bakal berhijrah ke Bali pada pertengahan Julai, selepas lama berhajat untuk berbuat demikian.

Untuk makluman, Dia dan suaminya, Eric Daniel Depp berkahwin pada 2012 dan dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Zachary, 8, Raphael, 6, dan Isabella 2. Sementara, menerusi perkahwinan terdahulunya bersama komposer Ajai, Nourul dikurniakan seorang anak perempuan iaitu Ayu Nazirah, 23.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: