23 September 2021

DRAMA DIA ISTERIKU MAKIN HANGAT DI TV ALHIJRAH



Drama bersiri 13 episod 'Dia Isteriku' lakonan Rozita Che Wan, Hafidz Roshdi, Shalma Eliana, Dato Fizz Fairuz dan ramai lagi kini semakin hangat dengan tontonan melebihi jangkaan.

Drama 13 episod ini mengisahkan perihal duri dalam daging di dalam keluarga Helmi dan Aisyah. Segalanya bermula apabila Elisha, anak kandung Aishah hasil perkahwinan terdahulu bersama Bahar datang tinggal bersama ibunya disebabkan Bahar dihantar bertugas ke Afrika Selatan.

Elisya mengalami sedikit kejutan budaya dan mengambil masa yang agak lama untuk menyesuaikan diri. Manakan tidak, sewaktu tinggal dengan bapanya, hidup dia agak bebas dan dia tidak mempedulikan hukum hakam agama.

Suasana amat berbeza di rumah ibunya. Helmi dan Aishah mementingkan suasana kehidupan Islam dan penuh kasih sayang. Ini membuatkan Elisya rasa terkongkong dan memberontak.

Klik untuk gambar besar



Namun begitu, Helmi dan Aishah tidak pernah berbagi kasih sayang. Sebagaimana mereka mengasihi anak kandung mereka Ikhwan, begitu mendalam juga perhatian dan layanan diberikan kepada Elisya.

Didikan dan kasih sayang Helmi disalah tafsir oleh Elisha. Dalam diam dia jatuh cinta dengan bapa tirinya. Dia berusaha berubah mengikut corak hidup sebagai muslimah sejati untuk menarik perhatian Helmi. Bukan itu sahaja, Elisya juga mula bertudung, menjaga solat dan jarang keluar rumah.

Perubahan sikap Elisya itu mengejutkan ramai kawan-kawannya terutamanya kawan baiknya Intan. Mereka tidak menduga Elisya yang selama ini begitu benci hidup terkongkong bertukar menjadi muslimah sejati.



Elisya tanpa segan silu memberitahu Intan bahawa dia berubah disebabkan bapa tirinya. Dia kini terpikat dan jatuh cinta dengan perawakan dan perwatakan Helmi.

Selanjutnya, pelbagai dugaan melanda keluarga tersebut hingga melibatkan pihak polis apabila fitnah mula merebak bagai virus yang merosakkan fikiran.

Mampukah Helmi membersihkan nama baiknya sekaligus membebaskan dirinya dari tahanan pihak polis? Adakah Aishah sanggup menerima Helmi kembali? Bagaimana pula Bahar berhadapan dengan anak kesayangannya Elisya setelah perkara sebenar terbongkar?

Jangan lupa untuk sama-sama menyaksikan drama Dia Isteriku terbitan Sha’s Media Sdn.Bhd yang diarahkan oleh Mazri Mustafa dan bagi mengetahui kesudahan kisah kisah peritnya fitnah dan manisnya sabar dalam kehidupan berkeluarga.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: