23 September 2021

"JANTUNG & DARAH, ALHAMDULILLAH SEMUANYA OKAY" - ELYANA MULA KEMOTERAPI ESOK



"Insya-Allah, esok saya akan mulakan rawatan kemoterapi. Semalam saya sudah buat ujian untuk jantung dan darah. Alhamdulillah semuanya okay. Hari ini, saya akan menjalani ujian imbasan PET untuk mengenal pasti sama ada sel kanser itu ada di bahagian mana lagi dalam tubuh saya," kata penyanyi Elyana yang akan memulakan rawatan kemoterapi bermula esok untuk merawat kanser limfoma yang dihidapinya.

Elyana atau nama sebenarnya Erneelya Elyana Emrizal, 34, yang sudah tiga hari dimasukkan ke hospital turut bersyukur kerana ujian darah dan jantungnya menunjukkan keputusan positif.

Berkongsi mengenai perkongsiannya di laman Instagram mengenai bagaimana dia menahan sakit selama sebulan, Elyana berkata, dia pada awalnya berharap sakit itu dapat hilang dengan sendirinya.

"Saya tahan sakit ini selama sebulan. Memang sepanjang tempoh itu, saya tak dapat tidur nyenyak sebab tak selesa sangat. Saya juga terpaksa tidur di sofa dan terasing daripada suami dan anak.

"Pada awalnya, saya cuba menahan sakit sebab saya husnuzon, mungkin sakit itu akan hilang sendiri. Tapi, makin lama, ia makin kuat pula sakitnya. Sebelum ini saya sudah menjalani rawatan radioterapi dan keadaan saya bertambah okay. Namun, sakit itu datang kembali," ujarnya.

Klik untuk gambar besar



Menurutnya, dia juga sempat meraikan sambutan hari jadi ke-10 anaknya, Cinta Sumayyah secara kecil-kecilan: "Sempat juga saya tahan sebab saya nak sambut hari jadi anak. Jadi, selepas raikan hari jadinya, Isnin lalu saya ke hospital, diberikan ubat tahan sakit dan steroid seterusnya ditahan sehingga ke hari ini," jelasnya.

Elyana berkata, pada awalnya dia tak sangka akan ditahan di hospital. Disebabkan itu, hingga hari ini dia tak berjumpa anak dan hanya ditemani suami.

"Di rumah ada pembantu yang membantu menjaga anak. Tapi, kalau boleh saya nak balik secepat mungkin sebab risau juga dengan keadaannya dan kelas dalam talian Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang diikutinya," katanya.

Sejak 10 tahun, Elyana menghidap kanser limfoma tahap empat dan pertama kali mendedahkan mengenai penyakit yang dialaminya itu di konsert Gegar Vaganza musim keempat yang disertainya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: