10 September 2021

"ENAM PENYAKIT MASIH TERKAWAL" - EBBY YUS TOLAK TAWARAN PENDERMA BUAH PINGGANG



Pelawak Ebby Yus yang bersyukur keadaan kesihatan semakin baik itu mendedahkan dia menolak tawaran dua individu yang ingin mendermakan buah pinggang kepadanya. Menurut Ebby atau nama sebenarnya Muhammad Yunus Abdul Rashid, 56, buat masa ini kesihatannya masih terkawal dan hanya perlu melakukan pemeriksaan setiap enam bulan sahaja.

"Alhamdulillah... tahap kesihatan saya semakin baik. Sebenarnya ada seorang wanita dan seorang lelaki nak dermakan buah pinggang mereka kepada saya. Tapi saya cakap dekat mereka, setakat sekarang ini syukur Alhamdulillah... saya belum memerlukan pemindahan buah pinggang dan boleh bekerja.

"Sekarang saya masih perlu jalani pemeriksaan susulan setiap enam bulan. Boleh dikatakan saya alami enam penyakit tapi semuanya masih terkawal," katanya pelakon sitkom 'Jenaka Kampung Kalut (JKK)' itu yang ditemui ketika pelancaran gerai minuman SemoothNgopi milik pelawak Shuk Sahar di Denai Alam, baru-baru ini.

Pada Januari 2019, Ebby mengakui dia menderita pelbagai jenis penyakit termasuk buah pinggang bocor, jantung, darah tinggi, gastrik, saraf dan prostat sejak beberapa tahun lalu. Menerusi laporan media sekitar 2019, Ebby mendedahkan dia menerima tawaran daripada dua individu tidak dikenali yang ingin mendermakan buah pinggang kepadanya.

Klik untuk gambar besar



Dalam pada itu, Ebby yang juga penyampai radio Negeri Sembilan FM turut berkongsi mengenai kehidupannya yang tidak terlalu terjejas berikutan pandemik Covid-19. Tidak mempunyai tanggungan yang besar, Ebby meluahkan rasa syukur kerana masih diberikan rezeki untuk meneruskan kehidupan.

"Saya nak cakap terjejas untuk diri saya itu tidak la... syukur Alhamdulillah. Mungkin sebab saya tidak ada isteri dan anak. Jadi tanggungan dan pembelanjaan tidak terlalu besar... hanya untuk diri sendiri saja. Insya-Allah saya masih cukup makan minum.

"Komitmen saya pun tak ada sangat memandangkan kereta pun sudah jual sejak beberapa tahun lalu. Syukur, apabila pandemik dapat buat kerja dekat rumah. Saya ada terima untuk buat ulasan produk di laman sosial selain buat live dari rumah yang turut mendapat bayaran," ujarnya.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: