18 September 2021

FAZLEY YAAKOB CARI JODOH UNTUK IBU, TERIMA 30 RESUME CALON BAPA TIRI



"Arwah ayah meninggal lima tahun lalu dan saya mahu ibu ada penemannya untuk luang masa bersama, bercakap dan saling berkongsi pendapat. Sebelum buat posting itu, saya ada tanya ibu sendiri sama ada dia setuju atau tidak. Bila dia kata okay baru saya buat posting itu.

"Lagi pun ibu seorang yang sangat pemalu. Memang dia tanya saya betul ke nak buat ini... saya cakap tak mengapa, biar saya aturkan," kata penyanyi dan cef terkenal Datuk Fazley Yaakob yang menganggap ini masa yang sesuai untuk ibunya, Datin Umi Kalsom Abdol Latib kembali berumah tangga, selepas lima tahun pemergian suami.

Fazley, 43, berkata, sebagai anak dia juga mahu ibunya memiliki teman hidup yang mampu mengisi masa lapang dengan pasangan di sisi dan berkongsi pendapat. Malah, tindakannya memuat naik posting mencari calon suami untuk ibunya sudah mendapat keizinan terlebih dahulu.

Pada Jumaat Fazley memuat naik foto bersama ibu dengan kapsyen 'saya nak cari jodoh untuk ibu saya'. Menerusi posting ibu, Fazley turut meletakkan beberapa syarat antaranya, bukan suami orang, berumur 60 hingga 70 tahun, jujur, penyanyang, penyabar dan suka makan.

Klik untuk gambar besar



Untuk makluman, suami Umi Kalsom iaitu Allahyarham Yaakob Mohammad meninggal dunia pada Februari 2016 akibat komplikasi paru-paru Ketika ditanya mengenai ciri-ciri individu yang dicari itu, Fazley berkata apa yang penting adalah keserasian untuk bersama ibunya.

"Saya tidak kisah langsung sebenarnya dan kalau boleh biarlah orang itu yang sederhana, orang masjid... macam itulah sebab di usia emas ini yang penting adalah keserasian bersama.

"Jadi saya mohon sila hantar resume bapa masing-masing kepada saya. Setakat ini sudah ada 30 orang yang berminat. Nanti, saya sendiri yang akan datang ke rumah uncle-uncle ini untuk jumpa," jelasnya.



Sementara itu, Fazley berkata, ini bukan kali pertama dia berbuat sedemikian kerana pernah melakukan perkara sama ketika untuk mencari jodoh buat adiknya.

"Sebelum ini untuk adik pun saya ada buat jugak dan Alhamdulillah sudah ada perkembangan. Bagi saya tidak ada masalah pun nak berkongsi perkara seperti ini di media sosial... lagi pun saya tengok ramai je orang cari jodoh gunakan cara yang sama.

"Zaman sekarang adalah untuk melihat apa yang berlaku, sebab nanti orang tahu jugak. Jadi saya gunakan media sosial agar ia dapat dimanfaatkan sebaiknya," ujarnya.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: