24 September 2021

GENAP 6 TAHUN - STACY KONGSI DETIK PELUK ISLAM



Pada 24 Ogos lalu, genap enam tahun usia penyanyi Stacy memeluk Islam di Jabatan Agama Islam Johor Bahru, Johor. Stacy mengakui suami yang juga penyanyi, Akim Ahmad antara insan yang banyak menjentik hatinya untuk mendekati agama Islam.

Menurut Stacy atau nama Islamnya, Ummu Shaikhah Stacy Anam, pendekatan suaminya bercerita mengenai keindahan Islam kepadanya juga cukup santai dan tidak terlalu berat.

Malah hubungan baik yang terjalin ketika itu juga mendorong penyanyi lagu 'Pelangi Senja' itu terus mendekatkan diri dengan agama Islam. Stacy mengimbas detik penghijrahan dan pernikahannya ketika menjadi tetamu program bual bicara dalam talian, Bersama Tya, baru-baru ini.

Dedah ibu kepada dua cahaya mata bernama Bella De Luna Valentina, 8, dan Eshaal Afiq Hakim, 4 itu kepada hosnya, Tya Arifin, antara detik paling bermakna dikenang hingga saat ini ialah ibu bapanya juga hadir ketika dia memeluk Islam.

Klik untuk gambar besar



Bagaimanapun, momen tersebut pernah menjadi tular dan sensasi apabila penyebaran gambar serta video proses pengislaman dirinya. Pada masa sama, Stacy mengakui, hatinya bagai melalui satu episod yang cukup dasyat sebelum melafazkan dua kalimah syahadah.

"Dulu sebelum memeluk agama Islam, saya seperti tiada agama sebenarnya. Hidup lebih berpaksikan cara membesar, apa yang dilihat dan didengari. Namun selepas enam tahun berkawan dengan Akim, banyak gerak hati untuk tahu apa itu Islam banyak didoronginya. Cara dia bercerita hal agama Islam nampak ringan dan tidak terlalu 'direct'.

"Pendek kata apa yang terpacul dari mulutnya membawa ke satu siri penceritaan menarik. Siapa sangka keakraban kami, termasuk cara saya jadi dekat dengan Islam menerusinya terus menguatkan jodoh kami.



"Pada 26 September 2015, kami bertunang, seterusnya 5 Februari 2016 kami bernikah di sebuah hotel di Sabah. Saya rasa momen pengislaman jadi sangat sempurna apabila ibu bapa ada di sisi merestui keputusan paling besar dilakukan anak mereka.

"Awalnya hanya ibu bapa saya saja tahu keputusan memeluk Islam ini. Tapi adik beradik lain dan saudara mara belum diberitahu lagi. Apabila viral gambar dan video itu, jadi kecoh. Tapi Akim suruh saya bersabar dan relaks dengan apa yang terjadi," kongsinya.

"Jujur ketika itu, hati saya jadi takut sangat dengan keputusan berkenaan. Hingga saya mempersoalkan dalam diri, apakah betul keputusan yang dibuat itu. Saya macam berperang dengan diri sendiri. Hingga terpacul rasa apakah sampai tahap perlu meninggalkan keluarga sendiri untuk agama Islam.

"Tapi akhirnya, takdir hidup saya memilih Islam sebagai agama yang satu. Saat selesai melafazkan kalimah itu, kelihatan ibu bapa saya tersenyum dan gembira. Ketika itu saya sedar, perasaan bukan-bukan itu hanya mainan emosi," katanya yang masih belajar untuk menjadi insan terbaik. Saya masih belum sempurna. Namun, dalam hati sentiasa berusaha untuk ke arah yang lebih baik," katanya lagi.





         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: