16 September 2021

HAQIEM RUSLI & BAKAL ISTERI SUDAH JALANI KURSUS KAHWIN, UJIAN HIV



"Alhamdulillah, setakat ini, semuanya berjalan baik, cuma tinggal menghantar borang permohonan ke pejabat agama untuk mendapatkan tarikh nikah. Saya akan umumkan tarikh pernikahan sebaik sahaja permohonan diluluskan," kongsi penyanyi Haqiem Rusli apabila dia dan isteri sudah pun mengikut kursus kahwin dan melakukan ujian HIV, cuma kini hanya menghantar borang nikah ke pejabat agama.

"Saya bersedia andainya keputusan menamatkan zaman bujang pada usia yang muda menyebabkan popularitinya merudum. Soal rezeki adalah ketentuan Allah, sama ada sudah berkahwin ataupun sebaliknya. Apa yang penting, niat seseorang. Saya menyertai bidang seni dengan hati yang ikhlas untuk membantu dan mengubah nasib ibu bapa, adik beradik dan ahli keluarga lain.

"Saya mahu menggembirakan hati peminat yang mendengar karya yang didendangkan. Bagaimanapun, saya tidak merasakan keputusan berkahwin boleh mengakibatkan kerjaya seni merudum. Tidak mengapa andai merudum kerana itu adalah takdir yang tertulis. Saya hanya akan mengikut rentak kerana saya sudah berusaha dan tawakal.

Klik untuk gambar besar



Bukan soal cepat ataupun lambat, tetapi takdir hidup sudah ditentukan Allah. Sama ada akan berkahwin esok atau bila-bila sahaja, apa yang terbaik harus saya teruskan. Lagipun, perkahwinan adalah perkara baik yang dituntut agama, jadi tidak salah saya memilih berkahwin dalam usia muda," kata penyanyi berusia 23 tahun yang bakal menamatkan zaman bujang bersama pilihan hatinya tidak lama lagi.

Namun, hingga saat ini, penyanyi yang popular menerusi lagu 'Tergantung Sepi' dan 'Mimpi' itu masih mengunci mulut mengenai detik bersejarah yang bakal tercipta, namun ia dikatakan bakal berlangsung penghujung tahun ini.


Biarpun mengejutkan ramai dengan pengakuan mendirikan rumah tangga dengan 'belahan jiwa' pada Jun lalu, namun penyanyi kelahiran Hulu Langat, Selangor itu tetap menyimpul kemas siapakah pemilik 'suri hati' yang akan mendakap hatinya seumur hidup.

Berkongsi tarikh bersejarah, Haqiem atau nama sebenarnya, Ridzuan Haqiem Rusli berkata, setakat ini, dia masih belum menetap tarikh.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: