24 September 2021

POLIS DEDAH KAD PELARIAN UNHCR & GAMBAR SAJAT DISOAL SIASAT



"Beliau (Nur Sajat) kini sedang menunggu tawaran pihak negara ketiga bagi membantunya berpindah ke negara terbabit. Nur Sajat juga menukar nama samarannya kepada Bella namun dirinya tetap orang yang sama. Polis akan meneruskan proses membawa pulang Sajat kerana Malaysia dan Thailand terikat dengan triti yang membolehkan proses untuk membawa pulang orang yang dikehendaki atau penjenayah buruan dilaksanakan.

"Permohonan ini akan dibuat dalam tempoh masa terdekat namun bergantung kepada negara berkenaan sama ada akan memenuhi permintaan kita atau tidak. Kita yakin keluarga boleh bantu menasihatkannya untuk pulang ke negara ini," kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan kepada pemberita pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Bukit Aman hari ini mengedarkan kad pelarian Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dipegang usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman atau lebih dikenali Nur Sajat selepas didedahkan akhbar ini sejak Isnin lalu.

Klik untuk gambar besar

Selain itu, gambar Sajat ketika disoal siasat pihak Imigresen Thailand ketika ditahan pada 8 September lalu di kondominium di Bangkok turut diedarkan.

Abd Jalil Hassan berkata, pihak Imigresen sudah membatalkan pemilikan pasport antarabangsa Sajat yang mana selepas itu dia turut memohon kad UNHCHR di Bangkok. Menurutnya, dalam proses permohonan itu akhirnya beliau mendapat status pelarian terbabit.

Kenyataan Abd Jalil itu sekali gus mengesahkan laporan bersiri secara eksklusif akhbar ini sejak disiarkan Isnin lalu. Dalam perkembangan sama, Abd Jalil berkata, kes Sajat ini kecil saja membabitkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) dan polis iaitu menghalang penjawat awam, sebab itu beliau dinasihatkan pulang.



Beliau berkata, keluarga Sajat juga diharap dapat membantu menasihatkannya supaya pulang ke tanah air bagi menghadapi pertuduhan di mahkamah syariah yang tidak seberat mana.

Sebelum ini, sumber mendedahkan kad pelarian Sajat bernombor 815-21C00071 itu dikeluarkan UNHCR di Bangkok dengan bantuan ibu pejabat mereka di Malaysia. Laporan itu menyebut Sajat sedang dibantu negara tertentu dan pertubuhan antarabangsa termasuk UNHCR di Bangkok dan Malaysia untuk mendapatkan kebenaran berpindah ke Australia.

Bukan itu sahaja, proses pengeluaran kad pelarian berkenaan agak kontroversi disebabkan proses Sajat mendapatkannya dalam masa singkat berbanding pelarian lain. Malah, UNHCR di Malaysia juga pernah dilanda kontroversi kerana dilaporkan menjual kad pelarian itu hanya dengan harga RM120 pada 2016.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: