06 September 2021

SELEPAS IBU BAPA - ADIK PEREMPUAN AZZAM SHAM PULA POSITIF COVID-19



Penyanyi Azzam Sham, 24, yang sebelum ini berdepan dugaan apabila datuknya meninggal dunia dan ibu bapa pula dijangkiti Covid-19 pada 31 Ogos lalu. Terkini, Azzam diuji lagi apabila perlu menguruskan adiknya, Siti Nurazwani, 17, yang baru disahkan positif virus berkenaan, hari ini.

Azzam dihubungi berkata dia yang ketika ini menjalani kuarantin kendiri bersama adik-beradiknya di rumah agak bimbang memikirkan keadaan Siti Nurazwani kerana masih belum divaksin tetapi dijangkiti Covid-19 pula.

"Sejak ibu bapa saya, Lop Hisham Piai, 53, dan Yusnita Yusop, 45, dimasukkan ke Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Bersepadu (PKRC) di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) pada Khamis lalu, memang saya yang urus dan jaga semua adik-adik.

"Kami berenam di rumah menjalani kuarantin dan tak sangka pula, hari ini Siti Nurazwani disahkan positif Covid-19. Jadi, saya kena uruskan dia segera ke pusat kuarantin atau hospital untuk rawatan lanjut.

Klik untuk gambar besar



"Ini kerana selain belum lagi divaksin, Siti Nurazwani juga ada sejarah penyakit kronik iaitu dia ada masalah tiroid. Sebagai abang sulung, saya akui sangat risaukan keadaan kesihatannya," katanya.

Ditanya mengenai jangkitan awal wabak itu dalam keluarganya, Azzam berkata bapanya adalah individu pertama yang kurang sihat dan bergejala. Katanya, selepas ujian calitan dibuat pada 31 Ogos lalu mendapati bapa positif dan juga ibu.

"Kami semua sebenarnya tidak tahu ayah dapat dari mana, tapi dia memang keluar bekerja setiap hari. Apapun, saya anggap ini ujian buat kami sekeluarga. Cuma, risaunya pada tiga adik saya yang kecil dan belum divaksin.

"Kini, saya berharap Siti Nurazwani kuat melawan jangkitan Covid-19 itu walaupun dia sudah mula tunjuk gejala seperti sakit tekak. Saya mohon pada semua doakan keluarga saya kembali sihat," katanya lagi.



Azzam berkata, ibu bapanya juga bagaimanapun sudah mendapatkan dua dos vaksin lengkap Covid-19. Apapun, katanya dia tetap risau kerana bapa ada menghidap darah tinggi dan kencing manis, manakala ibu pula mengalami masalah tiroid.

Menyentuh keadaan kesihatan ibu bapanya, Azzam berkata bapa yang dihubungi di pusat kuarantin ada memaklumkan sudah hilang deria rasa dan ibu tetap kuat berjuang melawan penyakit itu.

Sehubungan itu, Azzam bersama empat lagi adiknya iaitu Muhammad Azim Ramdan, 22, Intan Noraziean, 21, Muhammad Azryzham, 14 dan Nur Azreen Yusrina,10, yang negatif Covid-19 masih menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Azzam berkata dia juga berterima kasih kepada ibu dan bapa saudaranya yang begitu prihatin dan banyak membantu mereka adik-beradik. Katanya, walaupun dia tidak bersedia menghadapi situasi ini, tetapi semangat diberikan saudara di sekeliling banyak membantunya lebih positif dan sabar.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: