27 October 2021

36 JAM MENAHAN SAKIT - ISTERI AMIR FLOOR 88 SELAMAT BERSALIN SECARA BEDAH



"Alhamdulillah selepas menahan sakit sejak Isnin akhirnya isteri selamat lahirkan anak sulung kami. Bayangkan 36 jam dia menahan sakit nak bersalin tapi masih belum ada jalan untuk baby keluar, akhirnya doktor mengambil keputusan untuk melakukan pembedahan. Isteri pun tak sihat sebab beberapa hari sebelum masuk hospital, dia diserang demam campak atau chicken pox.

"Demi keselamatan isteri dan anak, kami bersetuju pembedahan dilakukan. Memang sedih sangat sebab tak dapat nak teman isteri sakit seorang diri dalam bilik bersalin. Sepanjang tempoh menunggu itu, saya hanya setakat dapat buat video call dan jumpa lima minit sebelum pembedahan.

"Tapi Alhamdulillah lepas makan ubat sekarang ini keadaan dia semakin baik cuma belum boleh sentuh baby lagi, saya pun petang ini baru dapat jumpa baby," demikian kongsi pemain gitar kumpulan Floor 88, Amir mengenai isterinya, Zarith Shawara yang telah pun selamat bersalin anak sulung mereka, bayi lelaki secara pembedahan di Hospital Selayang, Selangor kira-kira pukul 9 malam, Selasa, selepas 36 jam menahan sakit akibat kontraksi.

Dalam pada itu, Amir atau nama sebenar Amirul Affeq, 30, berkata, kesukaran isteri melahirkan cahaya mata sulung mereka ini benar-benar membuka matanya untuk lebih menghargai pengorbanan seorang ibu.

Klik untuk gambar besar



"Tengok sendiri sakit yang isteri tanggung baru saya sedar pengorbanan seorang ibu. Kita sebagai lelaki tak boleh nak balas betapa besar jasa ibu melahirkan kita. Mereka bertarung nyawa semasa bersalin. Pengalaman pertama ini menjadikan saya lebih menghargai ibu dan isteri. Apa-apa pun syukur Alhamdulillah pembedahan berjalan lancar dan kedua-duanya sihat," ujarnya.

Mengenai nama pula, Amir berkata dia dan isteri sudah mempunyai beberapa pilihan, bagaimanapun masih belum memutuskan nama yang akan digunakan untuk anaknya itu.

"Nama dah ada... kami dah senaraikan beberapa nama tapi tunggu isteri dah sihat nanti kita bincang semula. Pilihan nama itu kami berdua yang beri, kalau dah capai kata sepakat nanti kami akan umumkan nama putera sulung kami ini," jelas Amir yang berkahwin dengan Zarith pada 26 Disember tahun lalu selepas empat bulan mengikat tali pertunangan.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: