16 October 2021

ADIRA SELESA BERDIKARI CARI DUIT SENDIRI, ENGGAN TERLALU BERGANTUNG SUAMI



Penyanyi Adira Suhaimi yang membina kerjaya dalam bidang nyanyian pada berusia 19 tahun selepas diangkat naib juara program realiti, Akademi Fantasia musim kelapan (AF8) pada 2010 itu mengakui dirinya lebih selesa berdikari dan gembira mencari pendapatan sendiri, meskipun memiliki suami yang mampu menanggung kehidupannya.

Kini, boleh dikatakan kira-kira 80 peratus pendapatannya hilang akibat penularan pandemik COVID-19, namun, ibu kepada tiga anak itu kini giat mengusahakan perniagaan demi meneruskan kelangsungan hidup. Dalam pada itu, penyanyi yang popular menerusi lagu 'Ombak Rindu' dan 'Takdir Tercipta' itu berkata, dia tergerak hati membuka perniagaan bagi membantu orang lain yang susah dan bergelut.

"Dari kecil saya diajar untuk mencari duit sendiri. Walaupun ada suami, saya kena ada perancangan, sekurang-kurangnya tidak terlalu mengharapkan suami. Kita kena ingat ada masa suami senang dan susah. Jadi, saya tidak mahu menyusahkan suami, jadi biarlah saya bekerja.

Klik untuk gambar besar



"Saya anggap lebih senang apabila saya memiliki duit sendiri boleh juga dikongsi pada keluarga, adik beradik dan mereka yang memerlukan. Saya suka membeli apa sahaja yang dimahukan dengan duit sendiri. Saya juga mempunyai perancangan masa depan untuk anak-anak. Saya pun tidak tahu umur panjang atau sebaliknya, jadi adalah sikit peninggalan untuk anak-anak.

"Saya pernah berdepan dengan kesusahan hidup, saya tahu bagaimana rasa peritnya apabila bergelut dengan bebanan kewangan. Niat saya membuka perniagaan bagi membantu orang lain yang ada masalah kewangan. Sekarang saya masih mencari apa yang boleh saya lakukan untuk bantu orang lain dengan platform yang ada," ujarnya.

Adira yang sudah lebih empat bulan melancarkan produk makanan tambahan, Soo Puteh, itu berkata, dia kini mahu lebih serius untuk mengembangkan perniagaannya. Tambah penyanyi kelahiran Ranau, Sabah ini, bukan bermakna akan memperlahankan kerjaya nyanyian, sebaliknya cuba menyeimbangkan kedua-dua bidang.



"Alhamdulillah, saya lebih terbuka hati untuk serius di dalam bidang perniagaan sejak pandemik COVID-19. Saya tidak sangka sambutan sangat memberangsangkan dalam tempoh empat bulan. Bermula 5,000 kotak, kini saya menambah sebanyak 10,000 kotak lagi. Ini adalah permulaan baik buat saya.

"Insya-Allah saya akan terus berniaga. Saya perlu berniaga sebab tidak tahu bila pandemik akan berakhir. Jadi, saya kena ada perancangan awal. Ini bukan artis sahaja, tetapi untuk sesiapa pun yang mula menceburi bidang perniagaan," katanya.

"Menyanyi masih keutamaan, selain anak-anak dan perniagaan. Sebab saya tidak mahu kecewakan peminat dan syarikat pengurusan, Nova Music," jelas penyanyi lagu 'Pujaan Hati' itu yang mendirikan rumah tangga dengan Datuk Seri Adnan Abu di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 dan dikurniakan tiga cahaya mata, Anggrek, 4, Asan, 3, dan Anggun, 2.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: