23 October 2021

NAFI DIDEKATI SELEBRITI WANITA - SHUIB SERAH JODOH PADA ALLAH, SYARATNYA TERIMA ANAK-ANAK



"Saya tak kisah menjadi ibu dan ayah buat mereka setelah arwah Sarah pergi, jadi sebab itulah saya tak terfikir fasal kahwin lagi. Kadang-kadang saya fikir, bagaimana pula perasaan arwah di sana. Jadi bab jodoh ini saya tak berani nak cakap panjang kerana ia adalah percaturan Allah SWT dan saya percaya pada ketentuannya.

"Saya tidak menolak jodoh, sebab apa yang diberikan Allah adalah yang terbaik buat saya. Tapi tak boleh juga cakap yang saya tidak akan berkahwin lagi sebab mungkin saya muda lagi, 37 tahun dan saya ada anak empat orang, sudah tentu mereka memerlukan kasih seorang wanita.

"Mak saya pun kata saya masih muda... sebagai lelaki sudah tentu saya nak ada rasa berkasih sayang, ada nafsu, apalagi dengan ada anak-anak kecil yang perlukan kasih sayang seorang wanita, ibu tapi semua itu saya serah kepada Allah mengenai soal jodoh saya pada masa hadapan.

Klik untuk gambar besar



"Saya tak mahu wanita yang ada persamaan dengan Sarah sebab arwah dah berada di dalam kelasnya yang tersendiri, cuma ada kriteria yang saya akan tetapkan. Hal kahwin ini bukan untuk kepentingan peribadi saja tapi untuk kepentingan anak-anak dan keluarga. Kalau dia berjaya mencuri hati anak-anak saya, mungkin dialah orangnya.

"Sebab yang lebih penting adalah mereka. Mereka pun pernah ada ibu, pastinya mereka mahu membesar dengan sentuhan seorang ibu dan tanggungjawab sayalah untuk memilih orang yang tepat. Sudah tentu saya mahukan yang terbaik untuk anak-anak saya... cuma buat masa sekarang, belum ada," kata pelawak Shuib Sepahtu yang mengakui buat masa ini dia belum bersedia untuk mencari pengganti isteri tercinta, Allahyarham Siti Sarah Raisuddin, malah menyerahkan sepenuhnya kepada Allah SWT.

Sudah dua bulan kehilangan isteri, Shuib atau nama sebenarnya Shahmira Muhamad, 37, berkata soal jodoh bukanlah keutamaan baginya, lebih-lebih lagi dia perlu memberikan tumpuan kepada empat anaknya yang masih kecil terutama Ayash Affan yang baru berusia dua bulan. Ujar Shuib lagi, jika ditakdirkan berkahwin lagi, dia hanya mahukan seorang wanita yang boleh menerima anak-anak kerana itu merupakan keutamaan hidupnya.



Dalam pada itu, Shuib yang mendirikan rumah tangga bersama arwah Siti Sarah pada 26 Februari 2011 dan dikurniakan empat cahaya mata itu menafikan khabar angin dia kini didekati oleh seorang selebriti wanita: "Siapa ya? Saya tak tahu langsung... Buat masa ini tak ada lagi sesiapa yang cuba dekati. Kalau ada pun saya berborak dengan pengurus sahaja," jelasnya.

Sementara itu, Shuib memberitahu emosinya belum stabil dan sukar mengawal perasaan setiap kali terkenang isteri tersayang. Kata Shuib, sejak bergelar bapa tunggal, soal emosi menjadi perkara yang sukar dihadapi dalam rutin harian dan dia akan menziarahi pusara isterinya setiap Isnin dan Jumaat bagi berkongsi apa sahaja perkara. Tambah Shuib, dia masih berehat dan tidak memasuki pejabat sejak lima bulan lalu serta tidak bekerja sejak pemergian arwah.



"Saya tengok anak-anak, Alhamdulillah emosi mereka terkawal tetapi saya berbeza. Saya buat hampir semua perkara dengan Sarah. Jadi, apabila arwah tiada, saya tidak rasa hilang separuh, sebaliknya, hampir semua diri ini hilang. Maksudnya, daripada segi kerjaya dan perniagaan, kami selalu kongsi banyak perkara.

"Contohnya, kalau ada masalah dalam bisnes atau peribadi, saya rujuk kepada arwah dan begitu juga dirinya. Jadi, apabila arwah tiada, saya tak tahu mahu rujuk siapa. Sampai sekarang, apabila saya ada masalah, saya tidak bercakap dengan orang termasuk emak atau ibu mentua. Sebaliknya, saya pergi ke kubur arwah dan berkongsi dengannya.

"Disebabkan itu, setiap minggu saya berjumpa doktor peribadi yang menjaga Sarah. Saya periksa kesihatan termasuk soal psikiatri... Ini bagi memastikan kesihatan mental saya. Soal kesihatan mental berkait rapat dengan emosi dan badan kita. Saya bersyukur saya ada keluarga yang sangat baik dan membantu menjaga anak-anak. Kami juga lakukan perkara yang tidak pernah dibuat sebelum ini iaitu mengaji setiap malam dan solat berjemaah. Jadi, perkara seperti itu sangat membantu kesihatan mental saya," tuturnya.





         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: