"Beberapa minggu lalu arwah ada mesej berbunyi 'Love you bro, cepat-cepat sembuh'. Dia tidak pernah mesej begitu dengan saya sebelum ini. Kalau bergurau pun kasar. Kemudian dia turut bertanya khabar. Kali terakhir kami berjumpa pada tayangan Kampung Pisang muzikal.
"Arwah disifatkan sebagai pengarah, sahabat dan abang yang baik kepada semua krew," kata penyanyi Datuk Awie atau nama sebenarnya Ahmad Azhar Othman, 52, yang menerima mesej terakhir arwah Mamat Khalid beberapa minggu lalu yang dianggap sedikit berbeza daripada kebiasaannya.
Sementara itu, pelakon Jaafar Onn memberitahu baru-baru ini telah menerima ucapan selamat panjang umur sempena sambutan ulang tahun kelahirannya yang ke-70 daripada Allahyarham Mamat Khalid. Kata Jaafar, ucapan tersebut akan kekal dalam ingatannya sampai bila-bila.
Lebih meninggalkan kesan apabila doa yang dibuat menerusi Facebook pada Sabtu itu menjadi perkongsian terakhir arwah Mamat atau nama sebenarnya Mohamad Mohamad Khalid yang menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 12.30 tengah malam pada Ahad.
Klik untuk gambar besar
"Terkejut sangat apabila dapat tahu Mamat Khalid dah tiada. Baru kelmarin dia wish birthday saya dengan ucapan panjang umur. Saya juga sempat balas mesej dia. Tapi tak sangka dia yang ucap selamat panjang umur kepada saya tapi ajal dia sampai dulu. Moga arwah tenang di sana... moga Allah lapangkan kuburnya," ujar Jaafar.
Pada Sabtu, Mamat memuat naik posting ucapan selamat ulang tahun kelahiran kepada Jaafar yang disambut pada 19 Oktober lalu: "Selamat panjang umur kekanda abang Jay ku yang meleleh Jaafar Onn," tulis arwah secara ringkas sambil berkongsi gambar kek yang dikirimkan Jaafar kepadanya.
Bercerita lanjut tentang kek berkenaan, Jaafar berkata dia juga tidak menyangka ia menjadi hadiah terakhir untuk arwah: "Kek tu dimasak sempena birthday saya, mana pernah orang yang sambut hari jadi yang bagi kek. Saya masak kek Arab dan hantar kat dia. Sebenarnya dia share kat FB selepas dia dah makan kek tu," jelasnya.
________________________
No comments:
Post a Comment