28 October 2021

BELAJAR DI ENGLAND - ANAK BONGSU ARWAH MAMAT KHALID TERKILAN



"Bila dapat tahu, dia (anak bongsu arwah Mamat Khalid) menangis terlalu kuat sampai semua orang sekeliling terkejut. Polis pun datang. Baby (panggilan anak bongsu) paling berduka dan terkesan kerana tidak dapat pulang berjumpa arwah buat kali terakhir. Malah, dia juga tahu papanya sudah tiada menerusi media sosial.

"Teknologi ketika ini terlalu pantas, apatah lagi media sosial. Semuanya berlaku sekelip mata dan terlalu pantas, kami di sini belum sempat untuk memaklumkan kepada Baby kerana menguruskan Abang (Mamat Khalid). Itu yang membuatkan dia terlalu ralat dan masih memerlukan ruang dan sedikit masa.

"Baby juga merancang untuk pulang menziarahi pusara, namun dalam proses untuk menguruskan semuanya. Arwah menyimpan segunung harapan buat Baby, jadi walau apa pun terjadi dia perlu untuk meneruskan impian Abang," kata isteri Allahyarham, Hasmah Hassan mengenai anak bongsunya, Ann Khalid atau mesra dengan panggilan Baby.

Klik untuk gambar besar



Anak bongsu Allahyarham Mamat Khalid menerima perkhabaran duka mengenai pemergian bapanya menerusi platform media sosial, Sabtu lalu. Hasmah memberitahu anak bongsunya yang kini belajar di luar negara itu satu-satu anak mereka yang tidak sempat menziarahi jenazah arwah suaminya.

Dalam pada itu, Hasmah berkata anak perempuannya itu masih memerlukan ruang dan masa kerana tidak dapat pulang berjumpa bapanya buat kali terakhir. Ann atau nama sebenarnya Nur Hassanah Mohamad kini melanjutkan pelajaran dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi Perniagaan, Universiti Of East Anglia, Norwich, England.

Sementara itu, anak bongsu daripada lima beradik itu memaklumkan dirinya masih bersedih dan memerlukan sedikit ruang dan masa untuk memulihkan semangat selepas kehilangan bapa tercinta. Namun, Ann turut berterima kasih kepada kenalannya yang berada di Norwich yang melaksanakan bacaan tahlil buat arwah bapanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: