24 October 2021

DATUK LAT SIFATKAN ADIKNYA, ALLAHYARHAM MAMAT KHALID PENCINTA SENI TEGAR



"Melihat minatnya daripada kecil, saya tak pelik akhirnya arwah merealisasikan cintanya terhadap dunia seni. Kami lima beradik... Ada dua perempuan, tiga lelaki. Kalau saya pulang ke kampung dari ibu kota, kami berkumpul sesama adik-beradik. Ada yang menyanyi, main alat muzik dan arwah akan jadi tukang 'sambung' atau 'kecoh'.

"Sekarang, arwah ada ramai pengikut bagi setiap hasil kerjanya. Banyak filem dihasilkannya. Malah, melihat hala tuju dan acuan kerja seninya, saya percaya dia boleh membimbing anak muda. Itulah yang dilakukan kepada anak keempatnya, Mohd Khalid Amen," ujar kartunis legenda, Datuk Mohammad Nor Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk Lat yang menyifatkan adik bongsunya, Allahyarham Mamat Khalid pencinta seni tegar.

Lat berkata, jika berkumpul bersama adik-beradik, Allahyarham Mamat gemar menunjukkan keghairahannya dalam seni. Dalam pada itu, Lat juga berharap sumbangan Allahyarham Mamat dalam mengangkat seni akan terus memberi manfaat kepada negara termasuk Perak.

"Seperti saya, arwah seperti pulang ke sarang (Ipoh) untuk berkarya. Saya pun akhirnya balik ke sini selepas puas merantau. Malah, arwah antara seniman yang terus mengangkat Perak sebagai lokasi penggambaran utama kerja seninya. Hinggakan arwah mengasas dan menubuhkan kafe Sarang Art Hub di Tanjong Malim sebagai pusat hentian dan persinggahan berpaksi seni," katanya.

Ditanya mengenai tentangan arwah bapa terhadap minat adiknya dalam dunia seni, Lat berkata, perkara itu lumrah: "Macam saya dan adik-beradik lain pun ada minat itu dan ini. Saya sendiri sukakan seni. Bapa akhirnya belikan alat melukis untuk saya. Apabila sampai ke tahap arwah mula membesar, bapa sudah tua dan mula rasa minat seni itu tidak sesuai. Tetapi biasalah, orang tua, tak suka... akhirnya suka juga," tuturnya.

Allahyarham Mamat Khalid atau nama sebenar, Mohamad Mohamad Khalid, 58, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Slim River, kira-kira jam 12.30 tengah malam tadi. Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Jamek Idris Iskandar Shah, Sungai Rokam di sini sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Kampung Paloh selepas Zohor.

Turut menziarah jenazah adalah Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dan rakan seni seperti Datuk Awie, Pekin Ibrahim dan Bell Ngasri.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: