15 October 2021

HAKIM SARAN BINCANG CARA BAIK - SITI NORDIANA INGATKAN JANGAN KELUAR KENYATAAN TIDAK BERASAS



"Kita memang sarankan kepada anak guam untuk selesaikan hal ini secara baik sebab mereka pernah berkawan. Sebelum perbicaraan akan datang, mereka boleh berbincang cari jalan terbaik. Malah plaintif memaklumkan boleh bertemu tapi kawasan berkecuali," kata peguam mewakili Sam Samin dan Razidah Ahmad atau Aida G iaitu Nurul Hafidzah Hassan yang mengalu-alukan jika kedua pihak bersetuju untuk menyelesaikan isu itu di luar mahkamah.

Kes perbicaraan saman fitnah penyanyi Siti Nordiana 37, ke atas lima sekawan yang sepatutnya berlangsung pagi ini ditangguhkan pada 20 Oktober depan. Menerusi laporan media, Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Zulqarnain Hassan menetapkan tarikh baru itu selepaas mengambil kira kelewatan pasukan pendakwaan menyerahkan penyata saksi.

Mahkamah yang bersidang secara atas talian itu diberitahu peguam mewakili Siti Nordiana atau mesra disapa sebagai Nana, baru sahaja menyerahkan penyata saksi pada Khamis. Dalam pada itu, hakim turut menyarankan plaintif dan defendan menggunakan tempoh tersebut untuk mencari jalan penyelesaian berhubung kemelut mereka. Difahamkan, prosiding selama satu jam itu tidak dihadiri Siti Nordiana selaku plaintif.

Klik untuk gambar besar



Sementara itu, Siti Nordiana menegaskan kepada semua pihak yang terlibat dalam perbicaraan kes saman fitnahnya ke atas lima, agar jangan keluarkan sebarang kenyataan hingga boleh mengganggu prosiding individu. Menurut Siti Nordiana, kenyataan tidak berasas dikhuatiri akan menjejaskan perbicaraan yang dijadual diadakan pada 20 Oktober depan.

"Nana sendiri hadir dan bersiap sedia untuk dipanggil sebagai saksi pertama plaintif. Setelah mendengar perbincangan semua pihak, hakim menyarankan pihak-pihak untuk cuba menyelesaikan kes ini di luar mahkamah. Nana juga ingin menegaskan agar tiada mana-mana pihak mengeluarkan kenyataan yang tidak berasas dan menyeleweng sehingga kes ini diputuskan oleh mahkamah. Ia agar tidak mengganggu prosiding perbicaraan penuh yang akan dijalankan sekiranya penyelesaian gagal dicapai," jelasnya,


Selain Siti Nordiana, kelima-lima defenden termasuk dua rakan seperjuangannya iaitu Lan Solo, atau nama sebenarnya Mohd Razlan Mohamed Yusof, 36, dan Syura Badron Zuraidah Badron, 35 turut hadir pada prosiding yang berlangsung secara dalam talian itu. Hadir sama ialah tiga defenden lain iaitu isteri Lan, Nur Sheila Hassim, 36; Pegawai Perhubungan Awam Syarikat Rakaman FMC Music Sam Musyadzafar Samin, 43; serta jurusolek artis bebas, Razidah Ahmad Senusi, 42.

Lan Solo dan isterinya Sheila serta Syura diwakili peguam Muhammad Hafiz Hood dan Alan Razak. Manakala Nurul Hafidzah Hassan dan Zeti Zulkifli mewakili Sam Samin dan Razidah Ahmad Senusi atau Aida G.

Pada 30 Julai lalu, Siti Nordiana menerusi Tetuan Abang Azlan & Associates memfailkan saman terhadap lima individu berkenaan atas dakwaan memfitnahnya di platform media sosial Instagram. Dalam saman tersebut, Siti Nordiana menuntut penerbitan permohonan maaf menerusi siaran akhbar, Instagram dan Facebook live serta RM500,000 daripada setiap defendan yang secara keseluruhannya berjumlah RM2.5 juta.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: