09 October 2021

ISTERI SELALU MENGIGAU, MENANGIS SENDIRIAN RINDUKAN ANAK - AZMI SAAT LUAH BIMBANG



Vokalis Caliph Buskers, Azmi Saat dan isterinya, Naziah Muhammad baru-baru ini telah diuji apabila kehilangan anak sulung yang dinantikan mereka selama 10 tahun. Pemergian cahaya mata lelaki yang diberi nama Khairul Afnan selepas tiga hari dilahirkan cukup meninggalkan kesan emosi kepada pasangan ini.

Ujar Azmi atau nama sebenarnya Khairul Azmi Saat, 34, ketika dihubungi, beberapa hari selepas pemergian Afnan pada 30 September lalu, isterinya telah berdepan tekanan: "Ada masanya kalau dia duduk sendiri tu, dia akan menangis sebab teringatkan anak. Ketika tidur pun dia selalu mengigau hingga saya kena tenangkan dia.

"Sejujurnya saya lebih sedih memikirkan keadaan isteri berbanding kehilangan anak. Saya reda dengan pemergiannya, saya perlu kuat untuk isteri... saya risau kesihatan dia terganggu. Alhamdulillah sekarang Allah permudahkan urusan isteri, emosi dia juga semakin baik," katanya.

Pada 27 September lalu Azmi berkongsi berita gembira apabila isterinya selamat melahirkan zuriat yang ditunggu-tunggu selama 10 tahun secara pembedahan. Namun kegembiraan itu hanya seketika apabila bayi yang berdepan masalah kegagalan fungsi otak sejak dilahirkan itu meninggal dunia tiga hari kemudian.

Klik untuk gambar besar



Bercerita lanjut tentang kehidupan dia dan isteri selepas lebih seminggu kehilangan anak tercinta, Azmi berkata dia sudah kembali bekerja. Namun kata Azmi, dia cuba melapangkan jadualnya pada waktu malam bagi memberi tumpuan kepada isteri yang sedang berpantang.

"Sekarang dah boleh kerja tapi saya hanya ambil waktu siang saja, waktu malam saya nak jaga isteri. Walaupun ada mak tolong jaga tapi tak sama dengan suami," jelasnya.

Tambah Azmi dia dan isteri reda dengan ujian Allah dan akan terus berusaha untuk mendapatkan zuriat pada masa akan datang: "Kami akan tetap berusaha dapatkan anak, InsyaAllah. Tapi tunggu sampai masing-masing dah sedia dan kalau ada rezeki. Apa yang terjadi dalam hidup kami ni satu kisah yang tak boleh kami lupakan.

"InsyaAllah saya akan keluarkan lagu berkisarkan perjalanan dan kisah hidup kami yang menanti kehadiran anak namun berakhir dengan kesedihan," ujarnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: