25 October 2021

KELUARGA ARWAH MAMAT KHALID TERIMA KUNJUNGAN & SUMBANGAN DARI FINAS



Ahli keluarga Allahyarham Mamat Khalid hari ini telah menerima kunjungan dari Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas). Pengerusinya, Zakaria Abdul Hamid hadir menyampaikan sumbangan RM1,000 kepada balu Allahyarham, Hasmah Hassan di kediaman mereka di Taman Ipoh Jaya Timur 1, di sini.

Isteri arwah Mamat Khalid menzahirkan rasa terima kasih kepada pihak Finas yang sudah beberapa kali tampil memberi bantuan: "Finas sebelum ini pernah datang dua kali iaitu ketika Abang Mamat sakit di hospital. Terima kasih Finas yang menghargai kerja-kerja seni dan orang yang terbabit dalam seni," tuturnya.

Sementara itu, Zakaria berkata, dia mewakili Finas mengucapkaan takziah kepada keluarga pengarah dan penerbit yang disanjungi itu. Menurut Zakaria, pemergian arwah disifatkan sebagai kehilangan sebutir permata dalam industri.

"Sepatutnya saya datang semalam tetapi ketika itu saya berada di Pahang jadi saya terpaksa tangguh. Saya mewakili Finas mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham. Sebagaimana yang kita sedia maklum, Allahyarham Mamat Khalid ini adalah sebutir pertama dan bintang yang memang susah kita hendak cari ganti.

"Karya Abang Mamat ini adalah satu karya yang agak unik, jika kita tengok filem iaitu bagaimana dia mengembalikan nostalgia cerita di perkampungan dan sebagainya," katanya.

Zakaria berkata, mungkin ada segelintir mempertikaikan hasil kerja dan karya arwah yang sebenarnya unik dan tiada tolok banding. Dalam masa sama, Zakaria beranggapan Mamat Khalid juga perlu dihargai kerana banyak mencungkil bakat yang agak luar biasa dan bakat daripada orang kampung.

"Mungkin ada orang mempertikaikan seperti yang pernah saya dengar filem bodoh dan sebagainya, tetapi sebenarnya karya yang ditunjukkan adalah karya yang begitu terkesan kepada masyarakat. Abang Mamat menampilkan kerja dan penggambaran di kawasan kampung, tidak perlu menonjolkan banglo yang gah, kereta mewah atau pelakon cantik yang mempunyai jutaan pengikut tetapi dia tetap dapat menerbitkan sebuah filem yang 'box office'.

"Beberapa watak seperti Pak Jabit dan sebagainya, yang mana satu watak dan karakter yang mempunyai nilai yang tersendiri. Ini yang sebenarnya kita terhutang budi kepada Abang Mamat kerana mencungkil bakat yang kita tak sangka menjadi satu bakat besar telahpun diangkat oleh Abang Mamat," ujarnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: