12 October 2021

KES DADAH - PELAKON NIEZAM ZAIDI, PENGARAH, PENOLONG PENGARAH MENGAKU BERSALAH



Di Mahkamah Majistret Kuala Kangsar, hari ini, pelakon Muhamad Niezam Mohd Zaidi, 28; pengarah Mohd Latiff Zami, 49; dan penolong pengarah Saiful Zaidrin Ismail, 46, mengaku bersalah atas tuduhan memiliki dadah, Ahad lalu, di hadapan Majistret Mohd Shazmeer Zamhari.

Memetik laporan Harian Metro, berdasarkan kertas pertuduhan, Muhamad Niezam didapati ada dalam milikannya 1.15 gram dadah berbahaya jenis Cannabis di rumah di Taman Chandan Putri, di sini, 7.15 pagi, 10 Oktober lalu.

Sementara itu, Mohd Latiff dan Saiful Zaidrin masing-masing didapati memiliki 0.3 gram dadah jenis Cannabis dan 0.38 gram Methamphetamine pada waktu, tarikh, dan lokasi sama.

Pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 ke atas Muhamad Niezam dan Mohd Latiff yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM20,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Manakala bagi pertuduhan ke atas Saiful Zaidrin, ia dibaca mengikut Seksyen 12(2) ADB 1952 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Syuhada Muhammad Lutfi manakala ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Intan Shafini Mior Shahrin.

Nur Syuhada memohon mahkamah menawarkan jaminan RM6,000 dengan seorang penjamin kepada Muhamad Niezam dan Mohd Latiff manakala jaminan RM8,000 kepada Saiful Zaidrin juga dengan seorang penjamin.

Intan Shafini bagaimanapun memohon jumlah jaminan itu diringankan kerana mengambil kira tanggungan ketiga-tiga tertuduh selain kesemua kehilangan sumber pencarian melalui pekerjaan mereka sepanjang perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.

Majistret menetapkan jaminan RM3,000 kepada Muhamad Niezam, RM2,600 kepada Mohd Latiff dan RM3,200 kepada Saiful Zaidrin yang masing-masing dengan seorang penjamin.

Mohd Shazmeer juga menetapkan 1 Disember depan untuk sebutan semula bagi ketiga-tiga tertuduh sementara menunggu laporan kimia.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: