05 October 2021

MASIH BELUM BERCAKAP, SEBELAH PARU-PARU IZUAN FITRI ROSAK: "SEKARANG JAGA ADIK MACAM JAGA BABY"



"Alhamdulillah adik (Izuan) semakin baik, dah boleh bangun... cumanya kita kena pantau sebab takut dia terjatuh, sekarang adik tak ada tempurung kepala, kita pun belum tahu lagi bila pembedahan untuk pasang tempurung semula. Makan pun dah boleh, kadang-kadang makan bubur atau kek. Dia dah pandai pilih nak makan apa. Soal makan dan minum pun kita kena pantau sebab dia tak boleh nak kawal.

"Mujur ada kakak dan abang yang tolong jaga. Mereka juga la yang bawa adik pergi hospital untuk pemeriksaan dan terapi. Hari ini (Selasa) kami bawa adik jumpa pakar untuk pemeriksaan pada bahagian kerongkong dan tekak, nak tengok kenapa adik masih belum bercakap sejak pembedahan... dia macam tak ada suara.

"Apa kita cakap dia hanya faham sepatah dua sahaja. Doktor juga maklumkan sebelah paru-paru adik dah rosak, hanya bergantung satu sahaja, mungkin sebab itu dia cepat penat. Memang adik hilang banyak keupayaan diri dan ingatannya pun tak pulih sepenuhya lagi. Sekarang jaga adik macam jaga baby," jelas ibu kepada pelakon remaja, Izuan Fitri iaitu Nor Abdul Rani yang berkongsi mengenai perkembangan terkini anaknya itu.

Klik untuk gambar besar



Jelas Nor, keadaan kesihatan pelakon remaja berusia 19 tahun itu menunjukkan perkembangan positif selepas dibenarkan keluar daripada Institut Perubatan Respiratori (IPR), Kuala Lumpur pada 22 September lalu. Dalam pada itu, Nor memberitahu Izuan sudah boleh bangun dan makan seperti biasa, namun masih belum mampu bercakap dan sebelah paru-parunya juga mengalami kerosakan.

Pada 31 Julai lalu, pelakon filem 'One Two Jaga' dan' Munafik itu dikejarkan ke Hospital Selayang, Selangor setelah tidak sedarkan dan diserang sawan berikutan penyakit batuk kering atau tibi yang dihidapi. Izuan selamat menjalani pembedahan pada bahagian otak di Hospital Kuala Lumpur (HKL), 5 Ogos lalu dan kemudiannya dipindahkan ke IPR pada 24 Ogos lalu.

Untuk makluman, Izuan mula berjinak-jinak dalam dunia lakonan sejak kanak-kanak dan pernah memenangi beberapa anugerah. Pelakon filem Butak ini pernah menjulang trofi Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Anugerah Skrin (ASK) TV3 pada 2015 dan Pelakon Kanak-Kanak TV Terbaik, Anugerah Seri Angkasa (ASA) 2016.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: