"Kami memohon kepada Peguam Negara untuk menggunakan budi bicara menarik balik pertuduhan terhadap anak guam kami. Ini kerana kita merasakan pertuduhan-pertuduhan yang dibawa terhadap anak guam saya ini pada asasnya bukanlah suatu kesalahan di bawah kesalahan yang dituduh," kata peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili Noor Neelofa Mohd Noor dan suaminya, Muhammad Haris Mohd Ismail atau PU Riz.
Kes langgar prosedur operasi standard (SOP) membabitkan pasangan selebriti terkenal itu memasuki episod baharu apabila peguam mereka menghantar representasi kepada Jabatan Peguam Negara untuk menarik balik pertuduhan tersebut. Ia berhubung pelanggaran SOP, Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah kedai karpet di Nilai 3, Mei lalu.
Peguam Wan Aizuddin Wan Mohammed yang mewakili pasangan itu berkata satu salinan representasi telah diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara pada Rabu dan pada Khamis kepada pihak pendakwaan. Wan Aizuddin berkata pihak pembelaan telah diberi masa satu bulan untuk mendapatkan maklum balas daripada pihak Jabatan Peguam Negara.
Neelofa, 32, yang memakai jubah putih manakala PU Riz, 26, berpakaian sut lengkap berwarna biru tiba di Kompleks Mahkamah Seremban, Negeri Sembilan pada pukul 9 pagi, Khamis. Pasangan ini berdepan pertuduhan pelanggaran SOP Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di sebuah premis permaidani di Nilai pada Mei lalu.
Klik untuk gambar besar
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Aling dalam prosiding mahkamah memaklumkan bahawa pihak pendakwaan juga telah menerima representasi daripada pihak pembelaan: "Pihak pendakwaan memerlukan masa satu bulan mengkaji representasi oleh OKS (Orang Kena Siasat)," katanya.
Majistret, Mohd. Firdaus Saleh kemudian menetapkan 1 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes tersebut. Sebelum ini, pasangan selebriti itu mengaku tidak bersalah melanggar SOP PKPB ketika didakwa di Mahkamah Majistret Seremban pada 20 Mei lalu.
Kesalahan itu didakwa dilakukan mereka ketika berada di sebuah premis menjual permaidani di Nilai 3 di sini pada 2 Mei lalu. Kedua-dua mereka dituduh di bawah Peraturan 19, Peratutan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) (Pindaan) (No 12) 2021.
________________________
No comments:
Post a Comment