21 October 2021

RAJA FARAH ANGGAP ISU SELESAI - LISDAWATI MINTA JANGAN DIPANJANGKAN LAGI



"Hasbiyallaahu wani' mal wakiil" Semua yang terlibat dah memohon maaf. Semua kesal dan rasa bersalah. Tak perlu panjangkan isu ini utk berjemaah keruhkan keadaan. Terima kasih atas doa yang baik-baik. Sebagai Hamba Allah SWT.. semua tak lari dari melakukan kesilapan.

"Semoga Allah SWT memaafkan dosa kita semua. #hatiinimilikallah #sabarinimilikallah #lukadihatiallahjeyangtahu #jumpananti #mencarijalanpulang #khilafpendosa," demikian tulis pelakon Lisdawati menerusi laman Instagram miliknya.

Lisdawati yang juga isteri kepada pelakon Fauzi Nawawi memohon orang ramai tidak memanjangkan isu perkongsian suaminya mengenai babak panas terhadap pelakon Raja Farah dalam filem 'Anak Halal' lakonan mereka pada 2007 lalu. Ini kerana kata Lisdawati, semua pihak terbabit sudah memohon maaf dan menyifatkan semua orang tidak lari daripada melakukan kesilapan.

Dalam hantaran tersebut, Lisdawati turut berkongsi petikan kata-kata Ibnu Qoyyim RA: "Setiap maksiat yang dijelek-jelekkan kepada saudaramu, maka hal itu akan kembali kepadamu."

Klik untuk gambar besar



Sementara itu, Raja Farah memberitahu dia sudah menerima permohonan maaf daripada Fauzi menerusi mesej (DM) di Instagram, kelmarin. Bagaimanapun, dia tidak menerima permohonan maaf secara peribadi daripada pengacara program berkenaan yang juga pelakon Khir Rahman walaupun perkara itu sudah dibuat di Instagram.

"Sejujurnya, saya tak ada terima sebarang permohonan maaf daripada abang Khir, tapi saya tengok dia ada cuba cari nombor telefon saya. Namun, dia tidak ada DM atau apa-apa. Hanya daripada abang Fauzi dan isterinya saja. Kalau abang Fauzi, dia ada DM saya dan muat naik di Instagram juga. Bagi saya, lebih baik mohon maaf terus kepada saya," ujarnya.

Menurut Raja Farah atau nama sebenarnya Raja Farah Raja Aziz, 33, dia juga tidak mahu lagi memanjangkan isu berkenaan dan menganggap semuanya sudah selesai. Tambahnya, perkara itu tidak sepatutnya diutarakan kerana ia ternyata memberi kesan kepadanya selain dianggap membuka aib.


"Sebenarnya saya tak ada nak komen sangat. Ini kerana secara asasnya perkara ini sudah selesai. Cuma, sudah tentu saya harap sangat perkara seperti ini tidak terjadi lagi kepada sesiapa. Saya harap semua pihak yang terbabit dalam mana-mana program bual bicara akan lebih sensitif dalam menghasilkan apa-apa kandungan.

"Saya sangat terkesan. Terasa dibuka aib dan rasa seperti tidak dihormati. Sebagai seorang isteri, tentunya saya akan pergi kepada suami untuk bertanyakan pendapat kerana begitu ramai yang minta saya respons terhadap isu ini.

"Saya pun tak nak ada perbalahan. Jangan pula ada pihak yang mahu memburukkan keadaan. Saya dan suami berlapang dada. Mungkin pihak yang berkata-kata itu boleh buat permohonan maaf walau tak secara terbuka pun tak apa. Normal kita sebagai manusia ada tersalah kata dan sebagainya. Harap boleh diselesaikan. Terima kasih kepada semua pihak yang prihatin," katanya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: