Pada jam 10.20 pagi tadi, vokalis kumpulan Floor 88, Ayie Elham, 23, dan pasangannya, Nur Natasha Ahmad Nawawi, 22, atau lebih dikenali sebagai Tasha Awie telah sah bergelar suami isteri dengan sekali lafaz, selepas 10 bulan mengikat tali pertunangan.
Majlis nikah yang diadakan secara tertutup itu menyaksikan Ayie atau nama sebenarnya, Nik Fadlee Elhamshah, menyerahkan mas kahwin berjumlah RM1,000 bersama gelang dan cincin emas tanpa wang hantaran.
Seusai majlis, Ayie meluahkan perasaan syukur apabila segala-galanya berjalan lancar dan dipermudahkan. Dalam pada itu, Ayie berkata, dia terbuka hati menjadikan Tasha sebagai isteri kerana sikap penyayang dan pandai menguruskan hal berkaitan rumah tangga.
"Alhamdulillah, saya bersyukur perjalanan majlis ringkas ini dipermudahkan. Jujurnya, saya amat gemuruh, namun lega apabila upacara akad nikah selesai dengan satu lafaz.
Klik untuk gambar besar
"Kini, saya bersedia dengan tanggungjawab yang baru. Selain itu, saya bersyukur banyak rezeki masuk dan urusan kami dipermudahkan, biarpun dirancang pada saat akhir. Alhamdulillah.
"Tasha sukakan budak-budak, pandai memasak dan menguruskan hal rumah. Malah, dia juga pandai mengatur kehidupan untuk memudahkan kehidupan kami pada masa hadapan," katanya.
Ayie ketika ditanya mengenai lokasi bulan madu pula, memberitahu mereka belum mempunyai perancangan kerana perlu menyelesaikan banyak kerja yang tertangguh ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0. Malah, katanya, dia juga tidak meletakkan sebarang perancangan mengenai cahaya mata.
"Tiada perancangan nak berbulan madu, saya hanya cuti empat hari. Saya akan sambung bekerja hingga November depan, jadi kena tunda bulan madu. Saya mempunyai penggambaran telefilem, travelog dan video muzik.
"Apabila industri kreatif kembali dibuka, banyak kerja yang tertangguh perlu diselesaikan, jadual pun padat dengan kerja. Saya kena curi-curi masa untuk menyusun balik masa bersama isteri. Soal zuriat, kami tidak merancang. Jika ada ramai anak, Alhamdulillah. Jika sedikit, kami akan usaha sebaik mungkin," katanya.
Seterusnya, Ayie dan Tasha akan mengadakan majlis resepsi dalam skala sederhana pada malam ini. Pasangan ini mengikat tali pertunangan di Lanai Anggun, Eco Sky pada Januari lalu.
________________________
No comments:
Post a Comment