22 October 2021

'PELUANG KEDUA' TERJUAL LEBIH RM400,000 - NABILA BERSYUKUR RAIH 2X ANUGERAH PLATINUM



Penyanyi Nabila Razali meluahkan rasa syukur selepas berjaya meraih 2x Anugerah Platinum iaitu hasil pendapatan melebihi RM400,000 di semua platform penstriman dan YouTube, menerusi lagu 'Peluang Kedua'. Nabila atau nama sebenarnya Nur Nabila Muhd Razali, 28, menganggap ia satu pencapaian terbaik buat dirinya selepas bekerja-keras untuk lagu itu.

"Alhamdulillah, ini pencapaian terbaik saya sehingga sekarang. Segala penat lelah bersama pasukan pengurusan nyata sangat berbaloi dengan penjualan lagu ini. Saya juga tak sangka 'Peluang Kedua' mendapat sambutan yang sangat menggalakkan sejak ia dilancarkan. Saya harap peminat akan terus menyokong lagu baharu saya pula yang bakal keluar tidak lama lagi," katanya.

Lagu ciptaan Hael Husaini dan MFMF itu menerima anugerah berkenaan selepas melepasi angka penjualan RM400,000. Syarat ditetapkan untuk meraih Anugerah Platinum adalah sesebuah lagu haruslah mencapai keuntungan sebanyak RM200,000.

Klik untuk gambar besar



Nabila yang juga seorang pelakon itu percaya, faktor utama kejayaan itu pastinya disebabkan lagu ciptaan Hael Husaini dan MFMF itu sendiri sebuah karya hebat dan berkualiti. Selaku penyanyinya, dia juga sentiasa memastikan lagu berkenaan terus dipromosi sebaik mungkin dan berjaya meninggalkan kesan kepada pendengar.

"Setiap produk yang dikeluarkan itu haruslah berkualiti dan bukan syok sendiri supaya hasilnya bukan kita saja suka, tetapi peminat juga suka dan boleh 'relate' dengan lagu terbabit. Ini adalah antara faktor yang sangat penting di sebalik kejayaan lagu Peluang Kedua dan semua lagu-lagu yang bakal dikeluarkan oleh saya," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Nabila bakal melancarkan lagu baharu tidak lama lagi. Seperti 'Peluang Kedua', dia berharap lagu baru itu juga mendapat sambutan hangat pendengar muzik Malaysia.





         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: