Penyanyi legenda, Datuk Khadijah Ibrahim telah didakwa meninggal dunia selepas tular sebuah artikel yang memaklumkan bahawa Khadijah kembali ke rahmatullah pada jam 4.30 petang semalam di Wad Nefrologi, Hospital Kuala Lumpur akibat komplikasi buah pinggang.
Khadijah atau mesra disapa ibu Khaty ketika ditanya berhubung perkara ini mengakui sudah 'masak' dengan berita sedemikian. Khadijah berkata, dia tidak berkecil hati dengan berita sebegitu, namun kasihan terhadap ahli keluarganya yang terkejut dan tidak henti-henti menghubunginya sejak pagi, hari ini.
Individu yang sebenarnya meninggal dunia petang semalam ialah balu kepada bekas Presiden Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor iaitu Datin Khatijah Ibrahim yang kebetulan memiliki nama sama.
"Alhamdulillah. Saya sihat dan baik-baik saja. Perkara sebegini sudah biasa terjadi sebab kadang-kadang sesetengah orang tak fikir mengenai perasaan kita dan menulisnya tanpa usul periksa.
Klik untuk gambar besar
"Saya tak berkecil hati pun cuma saya kasihan dengan ahli keluarga terutama di Singapura yang tidak henti menghubungi saya pagi tadi. Ada yang menangis-nangis menelefon saya selain terkejut kerana mereka baru bercakap dengan saya malam semalam," katanya.
Menurut Khadijah, dia enggan mengambil pusing dengan berita tidak benar itu sebaliknya bersyukur apabila ramai pihak mengambil berat dengan dirinya.
"Saya pun tak faham apa yang mereka rasa ketika menulis berita sebegini. Namun, saya bersyukur dikelilingi keluarga dan peminat yang sentiasa mengambil berat dan saling menyayangi. Alhamdulillah saya juga bersyukur ke hadrat Ilahi kerana masih diberikan kesihatan yang baik. Tiada apa yang perlu dibimbangkan," ujarnya.
________________________
No comments:
Post a Comment