06 October 2021

PENDAPATAN - MEL WINGS AKUI BUNTU MENCARINYA



Bekas penyanyi Wings, Mel atau nama sebenarnya Ismail Zainuddin, 56, ketika ditemui media baru-baru ini telah berkongsi mengenai keadaannya sekarang dimana dia kini buntu memikirkan cara untuk mencari pendapatan. Mel berkata, dia tidak hanya berpeluk tubuh meratapi nasibnya. Dia cuba berniaga, namun usahanya terhenti separuh jalan kerana tiada sambutan.

"Sejak pandemik Covid-19 bermula tahun lalu, kehidupan saya memang 'habis'. Sebelum ini, saya dijemput untuk program sembang santai sambil menyanyi lagu-lagu bercorak ketuhanan bersama Ali XPDC dan ramai lagi. Dapatlah juga bayaran sekitar RM1,000. Namun, apabila pandemik, semuanya tersangkut. Saya sudah buntu dan harap semuanya berakhir tidak lama lagi.

"Saya pernah menjual anggur secara dalam talian dan buat penghantaran sendiri. Awal-awal saja sambutannya baik. Itu pun kawan-kawan artis yang beli. Selepas itu sambutan makin berkurangan dan membuatkan semangat saya mati. Bukan tak usaha tapi inilah hakikat yang diterima. Saya sekarang jual pekasam tapi rasanya tak lama juga dapat bertahan," katanya.

Terdahulu, Mel pernah diuji dengan serangan angin ahmar pada 2014 dan kesannya berlarutan sehingga kini apabila tiga jari tangan kanan masih terasa kebas. Dia juga mengalami masalah pertuturan dan sebutannya sukar difahami jika bercakap terlalu laju. Mel dan isterinya, Rose Maini Othman kini tinggal di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pinggiran Bukit Jalil, di sini, sejak 2016.

"Syukur kami dapat tinggal di sini. Agak lama saya memohon sekitar 10 tahun, tapi yang menguatkan permohonan saya ialah surat dari hospital berkenaan angin ahmar," ujar Mel yang ditemui ketika menerima kunjungan Pengasas Hidayat TV, Khairil Rashid dan Pengerusi Konsortium Industri Rakaman Malaysia (Irama), Ayob Abdul Majid yang hadir bertanyakan khabar dan menghulurkan sumbangan.

Tambah Mel, sejak 2017 dia dilantik sebagai pengerusi surau di blok tempat tinggalnya dan menjadi imam. Mel berkata, sekurang-kurangnya dia perlu ada pendapatan RM1,500 sebulan dan jika dapat memperoleh RM3,000, dia amat bersyukur.

"Dapatlah elaun sikit. Bukan meminta tapi orang bagi, saya ambil. Saya juga dapat bantuan Baitumal sebanyak RM300 sebulan. Bolehlah untuk tampung kos sewa rumah RM124, bil elektrik RM100 dan bil air RM60. Apapun saya bersyukur dan berterima kasih kerana banyak juga bantuan berupa barangan keperluan diterima.

"Anak dan menantu pula kehilangan kerja akibat pandemik dan saya ajak tinggal di sini buat sementara waktu. Mereka pun ada dua anak yang masih kecil. Jika ada duit lebih saya bolehlah beli susu untuk cucu. Namun, saya terpaksa berjimat kerana kos perubatan agak mahal," tuturnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: