18 October 2021

RIMAS SERING TERIMA GANGGUAN SEKSUAL DI IG - IEDA MOIN BUAT LAPORAN POLIS



Pelakon Ieda Moin pada Ahad lalu telah membuat laporan polis di Balai Polis Pudu, Kuala Lumpur, selepas tidak tahan dan jelak dengan gangguan seksual yang diterima sejak September lalu. Ieda berkata, gangguan yang diterima menerusi platform Instagram ternyata memberi kesan emosi kepadanya.

"Mulanya saya memang nak buat tak tahu dan sekat saja akaunnya dari awal. Keesokan harinya, dia buat akaun baharu dan ia berterusan begitu sehingga beberapa kali termasuk pagi ini. Memang geli sangat sebab bukan sekadar gambar dan video kemaluan, kata-katanya agak 'psiko'.

Ia benar-benar mengganggu emosi saya apabila menerimanya semalam sewaktu tengah bekerja. Saya nekad untuk buat laporan polis disebabkan risau perkara buruk mungkin berlaku. Ini kerana, dia turut tangkap skrin gambar saya sekeluarga dan ia amat membimbangkan. Saya tidak mengenali individu ini, namun dia mula menganggu saya sejak September lalu.

"Mungkin kerana saya berdada besar, budak-budak ini suka lihat, walhal bukan seksi pun. Apatah lagi saya bertudung dan kebanyakan gambar bersama anak-anak. Suami minta saya buat laporan polis kerana sudah melampau apabila menghantar video lucah dan gambar kemaluan

Klik untuk gambar besar



Dalam pada itu, Ieda atau nama sebenarnya Siti Haida Abd Moin, 42, mengakui sangat risau jika individu berkenaan bertindak lebih melampau sehingga membabitkan keluarganya.

"Bayangkan kalau dia mengganggu anak saya pula atau anak saya tertengok mesejnya? Belum lagi kalau tiba-tiba dia boleh muncul depan mata pula suatu hari nanti. Takkan sehingga saya perlu menutup akaun kerana Instagram adalah platform untuk saya mencari makan juga. Orang sebegini menganggu emosi dan dalaman kita.

Ieda bagaimanapun berkata, dia sebolehnya tidak mahu memanjangkan perkara tersebut. Malah, polis menasihatkannya untuk turut melaporkan kes itu kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

"Tak naklah sampai nak ambil tindakan ke mahkamah atau sebagainya. Cukuplah individu itu dapat pengajaran dan berhenti lakukan aktiviti tak bermoral sebegitu. Saya akan ke SKMM juga untuk kes ini supaya mereka dapat mengesan individu itu. Sudahlah cukup di sana, asalkan dia tidak mengulangi hal itu kepada mangsa lain pula," jelasnya.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: