01 October 2021

SEKALI LAGI DIPANGGIL POLIS - KETERANGAN USTAZ EBIT LEW & ISTERI SUDAH DIRAKAM



Bagi membantu siasatan kes gangguan seksual, pendakwah terkenal iaitu Ustaz Ebit Lew, 37, sekali lagi dipanggil polis di Bukit Aman untuk dirakamkan keterangan.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, pendakwah itu hadir bersama isterinya pada Khamis.

"Orang ramai dinasihatkan untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan dan menyebarkan apa-apa juga bahan di mana-mana platform bagi mengelakkan spekulasi dan provokasi sehingga menjejaskan siasatan pihak polis," katanya menerusi satu kenyataan pada Jumaat.

Pada 23 September lalu, polis mengesahkan telah membuka satu kertas siasatan berhubung video dan mesej lucah yang tular dalam aplikasi Telegram didakwa melibatkan seorang pendakwah terkenal.

Siasatan itu dijalankan di bawah Seksyen 504 Kanun Keseksaan kerana sengaja mengaibkan dengan niat hendak membangkitkan pecah keamanan.

Klik untuk gambar besar



Pada masa sama, Abd Jalil berkata, kes berkenaan juga disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

Pada Ogos lalu, Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew dipanggil polis di Bukit Aman untuk merakamkan keterangan bagi membantu siasatan kes gangguan seksual.

Bagaimanapun, Ebit Lew ketika ditemui media sebaik selesai memberi keterangan mendakwa dakwaan itu berunsur fitnah kejam ke atas dirinya.

Terdahulu, siasatan terhadap Ebit Lew, 37, dilakukan selepas pihak polis menerima laporan daripada beberapa individu mendakwa pendakwah itu melakukan gangguan seksual.

Siasatan membabitkan Ebit dijalankan di bawah tiga seksyen iaitu Seksyen 509 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 Akta Kesalahan-kesalahan Kecil 1955 serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: