04 October 2021

UBAT KHAS ELYANA CECAH RM250,000



"Saya kini dalam perbincangan dengan pihak pengeluar ubat itu mengenai harga atau mendapatkan tajaan separuh harga. Memang pening kepala juga sebab dalam keadaan sekarang, saya sebagai artis pun tak dapat bekerja seperti sebelum ini. Jadi, punca pendapatan terjejas," itulah kata penyanyi Elyana apabila dia dicadangkan doktor menggunakan satu ubat khas yang katanya agak mahal dan mencecah RM50,000 untuk satu rawatan.

Ujar Elyana atau nama sebenarnya, Erneelya Elyana Emrizal, 34, yang bakal menjalani sesi kedua rawatan kimoterapi pada Jumaat ini, ubat itu perlu digunakan untuk lima kali rawatan dan tentu kosnya sangat tinggi.

Berkongsikan keadaan kesihatannya selepas menjalani sesi pertama rawatan kimoterapi minggu lalu, Elyana berkata dia mengalami rabun yang semakin teruk.

"Selepas menjalani kimoterapi pertama, badan saya memang agak lemah. Perut pula rasa agak keras dan itu sedikit sebanyak mengganggu pernafasan.

Klik untuk gambar besar



"Paling saya rasakan adalah mata saya semakin kabur dan itu menyebabkan saya sakit kepala. Kadang-kadang, tengok telefon pun boleh pening. Untuk sel kanser itu mengecut atau tidak, saya belum dapat apa-apa maklumat daripada doktor memandangkan ini baru sesi pertama," jelasnya.

Untuk makluman, Elyana menghidap kanser limfoma tahap empat sejak 10 tahun lalu dan pertama kali mendedahkan mengenai penyakit itu di konsert Gegar Vaganza musim keempat yang disertainya pada 2017.

Pada Julai lalu, Elyana menjalani rawatan radioterapi pada bahagian hati dan pinggul bagi mengubati kanser dihadapinya sejak 10 tahun lalu.







         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: