03 November 2021

AL-FATIHAH - IBU BETTY BANAFE KEMBALI KE RAHMATULLAH



Takziah kami ucapkan kepada pelakon Betty Banafe atas pemergin ibunya, Fauziyah Gholib Nagib, 82, yang meninggal dunia di sebuah pusat perubatan di Johor Bahru, Johor, akibat jangkitan kuman dalam darah, pada jam 4.15 pagi hari ini.

Betty atau nama sebenar, Betty Ibtisam Abu Bakar Banafe memberitahu, selain jangkitan kuman dalam darah, arwah ibunya bertarung nyawa dengan pelbagai komplikasi penyakit lain termasuk tumor otak sejak 2010. Betty berkata, ibunya dimasukkan ke hospital sejak dua hari lalu.

"Ibu menghembuskan nafas terakhir dalam keadaan tenang ketika tidur. Dia pergi tanpa disedari kerana tiada bunyi seperti orang nazak. Nafasnya terhenti dengan baik dan mudah. Disebabkan tumor otak, dia tidak merasai kesakitan dialami. Ibarat dia tahu dirinya sakit, tapi seperti tidak diendahkan.

"Pada hujung usianya, daya ingatan ibu tidak bagus. Dia seperti ingat-ingat lupa. Malah, mukanya mula membengkak kerana jangkitan kuman dan kegagalan buah pinggang," katanya.

Jelas Betty lagi, ketika mula disahkan mempunyai masalah tumor otak, doktor pernah meramalkan hayat arwah bertahan dua tahun sahaja. Betty berkata, biarpun dalam keadaan separa sedar, ibunya sering memuji Ilahi.

"Bagaimanapun selepas 2013, nyawa ibu saya masih panjang dan terus bertahan. Kami anak-anak arwah reda dengan takdir tertulis ini. Malah, kami anak-beranak berlumba-lumba menjaganya dan berkongsi kasih sayang. Ibu memang segala-galanya untuk kami.

"Semoga pemergian ibu akan dipermudahkan dan mendapat husnul khatimah... Ramai sayangkan ibu," tuturnya yang turut memaklumkan jenazah ibunya akan dikebumikan hari ini di Tanah Perkuburan Bukit Aliff di Johor Bahru.

Allahyarham Fauziyah Gholib meninggalkan lima anak dan 18 cucu.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: