02 November 2021

ANZALNA NASIR TIDAK ANGGAP PELANTIKAN BAPA SEBAGAI JALAN PINTAS



Semua sedia maklum mengenai pelantikan bapa kepada pelakon Anzalna Nasir iaitu Profesor Dr. Md. Nasir Ibrahim sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Anzalna yang tumpang gembira itu tidak menganggap pelantikan bapanya sebagai jalan pintas untuk dia dan adik-beradiknya, Afifah serta Mia mengambil kesempatan.

"Kami membina kerjaya sendiri. Saya sendiri biarpun sudah memperlahankan karier seni demi keluarga, tawaran berlakon masih ada meskipun saya kini sudah berhijab, Alhamdulillah syukur sangat.

"Sama juga adik-beradik saya yang lain semuanya sudah punya plaform kerjaya masing-masing dan saya lihat mereka semakin berkembang dan berjaya dengan cara sendiri. Jadi, tidak ada jalan pintas atau kelebihan kepada kami sekiranya ayah sendiri menjadi CEO Finas," tegasnya.

Klik untuk gambar besar



Semalam, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) mengumumkan pelantikan Md. Nasir, 62, menerajui perbadanan berkenaan bagi tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 November 2021 sehingga 30 Oktober 2023.

Dalam pada itu, Anzalna meyakini kemampuan bapanya untuk menggalas tanggungjawab besar tersebut. Kata Anzalna, pelantikan bapanya itu diharapkan dapat membawa perubahan dan memacu perkembangan positif industri kreatif negara.

"Saya tumpang gembira dan berbangga dengan pelantikan ayah saya sebagai CEO Finas, Alhamdulillah rezekinya. Saya juga yakin ayah saya mampu menggalas tugas berat ini dan menjaga amanah bersama pasukannya.



"Berbekalkan pengalamannya bertugas di Kanada hingga sekarang, saya yakin beliau mampu dan akan membawa angin perubahan baharu. Semoga mereka dapat bersama-sama mengorak langkah baharu dan memacu industri perfileman ke arah yang lebih baik," katanya.

Cerita Anzalna, bapanya tidak pernah memberitahu tentang urusan kerjanya kepada keluarga termasuk khabar gembira pelantikan beliau baru-baru ini.

"Ayah saya seorang perahsia, soal kerja tak dibawa bila bersama keluarga. Dia hanya memaklumkan kepada kami sekeluarga apabila sudah confirm jawatan itu.

"Memang kami sekeluarga tumpang gembira atas pencapaiannya dan kemudiannya barulah dia bertanyakan pendapat kami tentang perkembangan industri kreatif negara sekarang," tambah Anzalna.



         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: