30 November 2021

HARTA SAJAT DIARAH MAHKAMAH UNTUK DISITA & DILELONG



Susulan kegagalannya membayar pampasan kepada bekas stokis utama, OWA Resources, harta usahawan kosmetik, Sajat atau nama sebenarnya Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman telah diarahkan oleh Mahkamah Tinggi di sini, hari ini untuk disita dan dilelong.

Peguam Nurul Hafidzah Hassan berkata, mahkamah membenarkan permohonan OWA Resources Sdn Bhd menuntut pampasan RM200,000 yang gagal dibayar oleh Sajat melalui proses penyitaan dan dilaksanakan hari ini.

"Mahkamah Tinggi Shah Alam memerintahkan pelaksanaan writ penyitaan dan penjualan dijalankan jam 10.30 pagi tadi di rumah Sajjad yang beralamat di Kota Damansara.

"Keputusan itu dibuat selepas mahkamah mendapati Sajjad tidak memberi sebarang respons untuk membayar pampasan setelah gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan pada April lalu bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang memerintahkan beliau membayar ganti rugi kepada OWA Resources," katanya dalam kenyataan hari ini.

Klik untuk gambar besar



Terdahulu, anak guamnya, Nurwati Hussin, 41 dan Mohamed Syakir Hussin, 32 dari OWA Resources yang juga bekas stokis utama perniagaan bengkung dan 'girdle' milik Sajat mengambil tindakan menyita susulan kegagalan usahawan itu membayar jumlah penghakiman pada Disember tahun lalu.

Nurul Hafidzah berkata, anak guamnya fokus untuk mendapatkan pampasan yang diarahkan dibayar oleh mahkamah: "Barang-barang yang disita akan dilelong di bawah harga pasaran untuk menebus pampasan yang perlu dibayar kepada pihak plaintif. Writ penyitaan dan penjualan sudah ditampal di premis defendan hari ini dan jika pihak defendan tidak membuat bayaran, semua barang yang disita akan dilelong pada 14 Disember ini.

"Sekiranya jumlah pungutan wang hasil dari lelongan masih tidak mencukupi melalui penjualan barang yang disita hari ini, anak-anak guam akan mengambil langkah seterusnya bagi menyita aset-aset lain yang boleh disita dan dijual," jelasnya.

Keputusan terkini Mahkamah Tinggi itu adalah satu lagi tamparan terhadap usaha Muhammad Sajjad mengelak membayar pampasan yang diarahkan mahkamah setelah didapati melanggar kontrak perniagaan kerana gagal membekalkan bengkung dan girdle kepada stokis beliau seperti yang dipersetujui.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: