25 November 2021

KEMBALI JALANI RAWATAN SKOLIOSIS - ZAMANI ENGGAN JADIKAN SAKIT SEBAGAI ALASAN



"Sekarang ini saya dah teruskan semula rawatan seperti biasa. Saya juga ingin berterima kasih kepada sebuah syarikat ini kerana mereka telah berikan saya tilam kesihatan. Lagipun keadaan saya sekarang pun dah beransur baik. Saya juga ada buat rawatan tradisional.

"Saya jalani rawatan tersebut daripada masa ke semasa," jelas vokalis kumpulan Slam, Zamani yang memaklumkan dirinya kini telah pun kembali menjalani rawatan penyakit skoliosis atau tulang belakang melengkung selepas menghentikannya sebelum ini akibat beberapa masalah yang tidak dapat dielakkan.

Jelas Zamani, dia juga ingin berterima kasih kepada pihak-pihak yang telah berbesar hati memberikannya katil kesihatan demi keselesaan tulang belakangnya itu. Pada masa sama, Zamani difahamkan turut menjalani rawatan tradisional sebagai kaedah alternatif.

Penyanyi lagu, 'Gerimis Mengundang' ini berkata sedemikian ketika ditemui di majlis sidang media Konsert Slam Mentari Muncul lagi yang berlangsung di ibukota pada Rabu.

Klik untuk gambar besar



Bagaimanapun, Zamani menegaskan dia tidak mahu menjadikan penyakit tersebut sebagai penghalang buat dirinya untuk memberikan persembahan yang terbaik menjelang konsert Slam yang bakal berlangsung pada Januari depan.

"Saya tak nafikan perkara ini sememangnya akan mengganggu persembahan saya di atas pentas. Sebab penyakit saya ni melibatkan saraf pada bahagian tulang belakang. Bila saraf tu terkepit mesti akan terasa juga.

"Namun, saya tidak mahu menjadikan perkara tersebut sebagai alasan. Kalau boleh, saya nak buat konsert ini sehabis baik. Saya nak tutup cerita sakit ini dan mahu terus positif. InsyaAllah," ujarnya lagi.



Konsert Slam Mentari Muncul Lagi sepatutnya diadakan pada Januari lalu namum, terpaksa ditangguhkan disebabkan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat pandemik Covid-19.

Menerusi majlis sidang media itu juga, pihak Shiraz Project dan Slam mengumumkan tarikh baru konsert mereka itu bakal diadakan pada 12 Februari 2022 di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Konsert ini menawarkan harga tiket bermula RM130, RM160, RM200, RM260, RM360 dan RM700. Untuk berita terkini hiburan dalam dan luar negara.





         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: