08 December 2021

"ALHAMDULILLAH... TAK SANGKA TERPILIH" - IFA BERSYUKUR BAKAL TUNAI UMRAH KALI KETIGA



"Alhamdulillah, dalam jutaan manusia, saya tak sangka saya terpilih oleh Allah untuk kembali ke Tanah Suci dan menunaikan ibadah umrah untuk kali ketiga. Saya begitu teruja untuk menunaikan umrah kali ini kerana sangat rindukan Makkah dan Madinah. Lagipun, ini adalah kali pertama saya ke luar negara selepas beberapa tahun tidak dapat melakukannya.

"Walaupun kerajaan sudah benarkan merentas negeri, saya tetap berada di Kuala Lumpur dan tidak merentas negeri kerana enggan mengambil risiko memandangkan saya memang nak menunaikan umrah," ujar penyanyi Ifa Raziah yang meluahkan rasa syukur kerana sekali lagi diberi peluang dan dijemput Allah untuk menunaikan ibadah umrah buat kali ketiga.

Bakal berangkat ke Makkah, malam ini, Ifa atau nama sebenarnya Saripah Raziah Mustapha berkata, perjalanan umrah kali ini membuatkannya begitu teruja memandangkan rasa rindu yang sangat kuat untuk kembali ke Tanah Suci.

Klik untuk gambar besar



Ifa yang berdepan fitnah mengenai proses pelangsingan badan baru-baru ini berkata, itu adalah ujian kecil yang Allah turunkan untuknya sebelum berangkat menunaikan umrah: "Apa yang berlaku itu adalah ujian dan kalau Allah nak angkat martabat kita, Dia akan berikan ujian. Ini baru sedikit saja," katanya.

Berkongsi mengenai spekulasi netizen yang mendakwa dia menjalani pembedahan 'memotong usus' atau bariatrik untuk kurus, Ifa menjelaskan bahawa itu tidak benar.



"Doktor itu adalah doktor yang merawat saya sejak empat tahun lalu. Pertemuan kami baru-baru ini adalah untuk saya menjalani pemeriksaan kesihatan memandangkan saya akan ke luar negara. Doktor itu sendiri sudah sedia maklum dan tahu apa akan berlaku sekiranya dia memuat naik gambar saya bersamanya dan saya sendiri yang izinkan. Seperti dijangka, gambar itu menjadi bualan.

"Namun, tidak ada sebarang kenyataan pun dalam keterangan di gambar itu yang menyatakan bahawa saya membuat pembedahan atau apa. Dia sebaliknya berkongsi rasa bangga kerana melihat kemajuan saya yang berjaya menurunkan berat badan sehingga tujuh kilogram," jelasnya.

Ifa juga berharap ibadah umrahnya berjalan lancar dan mendoakan agar segala wabak di muka bumi ini terutamanya Covid-19 akan dihapuskan Allah. Selain Ifa, suaminya Mohd Yani Abdul Rahman dan anak keduanya, Muhammad Shakir Aqili akan bersama dengannya menunaikan umrah.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: