03 December 2021

AMBIL MASA LAMA UNTUK PULIH - ROY BIMBANG FIKIR MASA DEPAN, MOHON BANTUAN ZAKAT



"Sebelum itu, saya dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL). Kemudian saya dipindahkan ke Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) untuk dibedah. Bagaimanapun, selepas menjalani ujian imbasan sinar X, doktor menyarankan agar pembedahan tidak dilakukan kerana keadaan pada bahagian yang tercedera tidak begitu mengizinkan.

"Justeru, saya diminta bertahan dan membiarkan kecederaan saya pulih sendiri. Ini mungkin akan mengambil masa antara tiga bulan hingga setahun. Jadi di KPJ Tawakal, saya jalani rawatan fisioterapi asas kerana masih belum mampu bergerak. Saya hanya terlantar di atas katil.

"Hendak buang air pun terpaksa menggunakan lampin pakai buang," demikian jelas penyanyi Roy yang berkongsi mengenai keadaannya terkini dengan memberitahu, dia menjalani rawatan pemulihan di KPJ Tawakal Kuala Lumpur akibat retak pada tulang pinggul selain sambungan tulang bahunya retak dan terkehel.

Sepanjang tahun ini, hospital bagaikan rumah kedua buat penyanyi 'Kau Ratnaku' itu. Ini kerana, pada Januari lalu, Roy dimasukkan ke Hospital Sungai Buloh (HSB) akibat dijangkiti virus COVID-19. Seterusnya, Roy diduga apabila disyaki mengalami masalah jantung hingga terpaksa dirawat di sebuah pusat perubatan.

Tiga minggu lalu, sekali lagi Roy atau nama sebenar, Mohammad Rauzan Alwi, 57, ditimpa malang apabila mengalami kecederaan serius pada kaki dan bahu kiri selepas terjatuh ketika mengambil wuduk.

Sementara itu, penyanyi yang terkenal dengan lagu yang berkonsepkan patriotik ini mengaku bimbang memikirkan masa depannya. Roy memilih rawatan di hospital berbanding rumah kerana tidak mahu menyusahkan anggota keluarga lain yang bekerja.

Klik untuk gambar besar



"Sebagai pemuzik jalanan, kecederaan ini memberi impak daripada segi pergerakan. Perkara inilah yang merisaukan saya. Disebabkan itu, saya dapatkan rawatan di pusat rehabilitasi ini agar mampu bergerak tanpa bantuan sesiapa. Namun, kosnya agak mahal. Untuk tempoh dua minggu rawatan, saya perlu membayar ribuan ringgit. Itupun saya pinjam duit sepupu kerana saya tiada insurans.

"Saya masuk ke pusat rehabilitasi ini atas saranan doktor di HUKM. Kes saya ini agak rumit kerana tahap kecederaannya agak kritikal. Kalau tersilap, saya boleh lumpuh kekal. Saya hanya akan pulang ke rumah selepas sudah boleh berdikari dan bergerak walaupun tidak seperti dulu. Status saya kini boleh dianggap seperti Orang Kelainan Upaya (OKU)," ujarnya.

Untuk meringankan beban, bekas peserta program realiti Gegar Vaganza musim keenam (GV6) ini sudah membuat permohonan bantuan zakat dengan pertolongan seorang teman.

"Saya ada maklumkan mengenai masalah saya ini kepada seorang teman. Atas bantuannya, pihak pungutan zakat ada menghubungi saya untuk mendapatkan butiran diri. Antara bantuan yang diperlukan adalah wang untuk membiayai kos rawatan untuk tempoh dua minggu akan datang dan kerusi roda.

"Apabila saya susah mampu bergerak tanpa bantuan sesiapa, bolehlah saya gunakan kerusi roda itu untuk membawa saya pergi 'busking'. Sebagai ketua keluarga, saya mahu segera pulih dan dapat kembali mencari rezeki seperti biasa," tutur Roy lagi.


Sumber: Berita Harian

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: