30 December 2021

BAD BERSYUKUR HADIAH PERCUTIAN DITUKAR KEPADA WANG TUNAI



"Alhamdulillah, ini adalah rezeki buat kami sekeluarga. Pada awalnya, saya pun dah tak terlalu berharap dengan hadiah pakej percutian yang ditaja sepenuhnya oleh pihak Kopetro, yang diberikan ketika rakaman Gegar Vaganza Raya (GV Raya) sekitar awal tahun lalu. Sebabnya, kerana kami suami isteri faham mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan untuk pelancongan dan sebagainya.

"Ditambah pula dengan keadaan kesihatan saya sekarang. Tapi, rezeki buat kami apabila hadiah itu ditukarkan kepada wang tunai," ujar penyanyi Bad Indigo yang meluahkan rasa syukur dan terima kasihnya atas sumbangan wang tunai berjumlah RM7,000 daripada pihak Koperasi Kakitangan Petronas Berhad (Kopetro).

Sumbangan tunai itu diserahkan Ketua Pegawai Eksekutif Kopetro, Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah, dalam satu sesi penyerahan yang berlangsung di kediaman pasangan penyanyi itu di Puchong, hari ini.

Berkongsi mengenai keadaan kesihatannya, Bad berkata, dia berada dalam keadaan baik dan sentiasa berfikiran positif walauoun diduga dengan pelbagai ujian.

"Alhamdulillah, semuanya okay. Saya okay, cuma perlu biasakan diri untuk menggunakan 'walker' untuk membantu saya berjalan memandangkan hanya sebelah kaki saya yang boleh digunakan," katanya.

Mengikut perancangan asal, Bad dan Ashira sepatutnya ke Langkawi untuk bercuti dan berbulan madu selama empat hari tiga malam dan ditaja sepenuhnya oleh Kopetro Travel & Tour, anak syarikat Kopetro.

Untuk makluman, Bad dan Ashira adalah bekas peserta program GV musim ketujuh (GV7) dan berkahwin pada 11 Mac 2021 sebelum disandingkan di dalam program GV Raya yang ditayangkan pada Aidilfitri lalu.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: