26 December 2021

BANYAK HABIS WAKTU DI MASJID - WAHID SENARIO SELESA TINGGAL DI IPOH



Berkongsi kisah penghijrahan kepada masyarakat, pelakon dan pengacara Wahid Senario atau nama sebenarnya Abdul Wahid Mohamad, 46, mengakui pernah 'dimarahi' anaknya kerana dia kurang selesa apabila cerita perubahan imej bapanya sering ditonjolkan menerusi media massa.

"Saya kata kepada mereka, nak buat macam mana kerana orang sering bertanya dan saya kena jelaskan perkara sebenarnya. Apapun ini tuntutan agama dan kita kena buat benda ini. Sebagai individu milik masyarakat yang orang kenal, apabila tengok kita berubah, pergi masjid, pasti orang kaitkan dengan benda ini.

"Bagi saya sama ada kita betul-betul nak berubah 100 peratus atau 50 peratus, terserahlah. Yang penting kita kena buat benda ini. Sebagai seorang bapa, dapat tunjuk sikit pun okeylah bagi saya," katanya.

Sementara itu, bapa kepada tiga anak lelaki berusia 18, 17 dan 13 tahun ini berkata, dia kini lebih banyak menghabiskan waktunya di masjid. Dalam masa sama, Wahid memberitahu dia lebih selesai tinggal di Ipoh dan keputusan untuk tinggal di sana juga dibuat bagi menjaga kedua-dua mentuanya selepas ibunya sendiri meninggal dunia.

"Namun, itu tidak bermaksud saya dah meninggalkan segala aktiviti seni kerana saya masih menerima tawaran aktiviti hiburan sekiranya ada. Namun, saya selesa tinggal di Ipoh, Perak. Memang saya sasarkan duduk di Ipoh sejak dulu walaupun ada kerjaya di Kuala Lumpur. Selepas dapat anak kedua, saya balik semula ke Ipoh.

"Sebenarnya selepas kahwin, saya bawa isteri ke Kuala Lumpur. Dia asal Ipoh dan bila tinggal di Kuala Lumpur, dia jadi serabut kepala. Bayangkan nak beli bawang pun kena beli di tempat yang besar. Kerana itu juga saya sanggup berulang alik dari Ipoh ke Kuala Lumpur setiap minggu untuk jadi hos program Melodi bersama Fara Fauzana dulu.

"Saya sekarang tenang bersama keluarga di Ipoh. Syukur perniagaan isteri yang diusahakan secara dalam talian dapat sambutan. Rezeki anak pun Allah dah aturkan dan mesti ada. Setiap bulan pasti ada tawaran kerja walaupun tak banyak," ujarnya.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: