23 December 2021

DIANA RAFAR TRAUMA PULANG KE KONDOMINIUM: "HANYA FIKIR SOAL MATI"



Pelakon Diana Rafar hanya terfikir soal ajal, selepas berdepan dengan suasana kelam-kabut dimana kediamannya jenis kondominium yang menjadi rumah persinggahan mereka sekeluarga di Seksyen 13, Shah Alam, mengalami banjir Sabtu lalu.

Diana, 39, berkata, kedudukan kediaman pada aras enam membolehkannya melihat semua yang berlaku sekelip mata. Tambah Diana, selepas melihat warga emas itu, dia mendengar pengumuman dibuat pengurusan kondominium agar semua penduduk turun.

"Hujan sangat lebat dan angin bertiup kencang. Semuanya berlaku terlalu pantas. Dalam sekelip mata, air mula memenuhi kawasan persekitaran kondominium. Saya sempat meninjau ke luar tingkap. Saya ternampak seorang warga emas melambai-lambai meminta bantuan kerana keretanya ditenggelami air.

"Saya jadi panik kerana tidak mampu berbuat apa-apa. Alhamdulillah, lelaki terbabit akhirnya berjaya menyelamatkan diri. Saya panik semula. Kebetulan kakak (Linda) tinggal bertentangan rumah saya. Kami kelam-kabut turun tanpa sempat mencapai apa-apa. Saya hanya membawa telefon bimbit dan anak. Rumah juga dibiarkan tidak berkunci akibat terlalu kelam-kabut. Kami juga terpaksa turun menggunakan tangga kerana perkhidmatan lif tergendala.

Klik untuk gambar besar



"Saya sangat panik lebih-lebih lagi mendapat tahu ada penduduk terperangkap dan dikhuatiri lemas. Air dari sungai berhampiran melimpah dengan deras lalu memasuki ruang parkir aras bawah. Buntu apatah lagi telefon pintar kehabisan bateri, saya sempat membuat rakaman video memaklumkan ada orang terperangkap untuk dihantar kepada kumpulan WhatsApp keluarga Rafar.

"Sekurang-kurangnya, keluarga tahu apa yang berlaku. Jika sesuatu terjadi kepada saya, Linda dan anak. Tidak sangka rakaman video itu viral. Mungkin ada ahli keluarga membuat perkongsian sehingga tular.

"Saya dan Linda sangat bimbang jika keadaan bertambah buruk. Lebih-lebih lagi, bekalan elektrik sudah terputus. Kami tidak mampu bertenang. Jantung saya berdegup laju sepanjang malam akibat terlalu risau. Linda pula sukar bernafas disebabkan macam-macam bermain dalam fikiran.



"Ketika itu, kami hanya memikirkan soal mati. Saya hanya mampu berdoa dan berzikir sepanjang malam melihatkan air yang bertakung seperti lautan di sekeliling kondominium. Saya merasakan malam terlalu panjang sehingga terfikir apakah dunia akan kiamat. Saya pernah terbaca, sebelum kiamat dunia akan gelap selama tujuh hari.

"Pada malam itu, saya dihubungi Izara Aishah yang bimbangkan keadaan saya. Lantas saya beritahu Izara agar tolong sedekahkan al-Fatihah banyak-banyak buat kami. Selepas itu, baru saya boleh lelapkan mata kira-kira dua jam," ujar Diana.

Tambah Diana, dia dan Linda masing-masing memakai tudung dan menyarung jaket sepanjang malam supaya andai berlaku kejadian tidak diingini, mereka sudah bersedia.



"Saya sudah pesan kepada suami jangan pulang. Dia gigih meredah banjir kerana bimbangkan keadaan kami. Suami meletakkan kereta agak jauh dari kediaman dan di lokasi tinggi," kata Diana mengenai suaminya, pelakon Zamarul Hisham yang meredah banjir sehingga paras pinggang sebaik selesai penggambaran untuk pulang ke rumah.

Bersyukur keesokan harinya, air mula surut, Diana yang mengambil usaha mengagihkan makanan dan pakaian kepada mangsa banjir di kawasan terbabit itu berkata, dia masih trauma dengan insiden tersebut. Setiap kali mengenangkan kejadian 'hitam' itu, hatinya amat tersentuh dan bulu roma berdiri.

"Saya dan Linda buat keputusan meninggalkan kediaman kami dan menumpang sementara di rumah kakak. Saya berniat pulang ke sebuah lagi rumah kami di Laman Glenmarie. Namun, jiran menasihatkan agar tidak berbuat demikian. Jiran beritahu berlaku kes paip pecah dan bekalan air sudah putus tiga hari. Sama juga dengan bekalan elektrik.

"Saya sangat trauma. Suami ada mengajak menjenguk kondominium kami, tetapi saya masih belum bersedia. Saya terkejut dan tidak sangka sebaik mendapat tahu banyak tempat yang lebih teruk seperti di Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam," kata Diana yang masih menumpang kediaman kakaknya, Anita di Seksyen 6, Shah Alam.




         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: