31 December 2021

DIBENARKAN KELUAR HOSPITAL - EBBY YUS BERSYUKUR MASALAH PARU-PARU BERAIR TAK SERIUS



Pelakon dan pelawak, Ebby Yus meluahkan rasa syukur apabila keadaan kesihatannya semakin baik dan sudah dibenarkan keluar dari hospital sejak Isnin lalu. Jelas Ebby, hasil pemeriksaan doktor mendapati dia mengalami masalah paru-paru berair tetapi tidak serius.

"Alhamdulillah, petang Isnin lalu saya dah dibenarkan keluar dari hospital. Pada awalnya, saya dimaklumkan mengenai masalah paru-paru berair. Apabila dijalankan ujian X-Ray untuk kali kedua, doktor maklumkan ia tidak serius. Jadi, saya tak perlu nak jalani prosedur untuk 'menebuk' bagi keluarkan air itu," katanya kepada Harian Metro.

Ebby yang sebelum ini dilaporkan telah ditahan di hospital selama empat hari itu juga memaklumkan dia kini sudah mula kembali bekerja.

"Rabu lalu, saya dah kembali bekerja. Saya sebagai tenaga pengajar untuk program Mencari Sepahtu Yang Hilang dan sudah mulakan kelas dengan mereka yang terbabit. Selain itu, saya juga berulang alik ke Hulu Langat untuk uruskan beberapa urusan berkaitan rumah," ujarnya.

Terdahulu, Ebby menjadi antara artis yang terkesan teruk akibat banjir selepas rumahnya yang masih dalam proses pembinaan, lenyap dibawa arus di Hulu Langat, Selangor.

         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: