22 December 2021

EBBY YUS: "REDALAH, SESUNGGUHNYA DI SEBALIK KESAKITAN ITU ADA NIKMAT YANG BEGITU INDAH"



"Semua orang ada impian serta keinginan. Tiada seorang pun ingin mencari atau berjumpa dengan masalah tetapi adakah kita setiap hari hanya berfikir mengenai indah dan nikmat sedangkan kita lupa bahawa setiap keburukan serta kesakitan itu juga datang daripada Allah. Kenapa kita harus nak terima benda yang baik-baik saja sedangkan benda tidak baik kita tak mahu terima?

"Redalah, sesungguhnya di sebalik kesakitan itu ada nikmat yang begitu indah selepas kita sihat atau berdepan kesusahan. Nikmat inilah sepatutnya kita tunggu sebab apa yang kita ada hari ini bukan milik kita. Itulah bukti yang amat nyata pada saya walaupun ia sudah ada di bibir, tetapi belum tentu saya dapat telannya.

"Saya faham orang akan cakap saya hanya mampu berkata-kata saja. Syukur Alhamdulillah Allah bagi saya untuk bercakap, tapi saya juga ingin beritahu rumah orang dimasuki lumpur ada orang datang bersihkan tapi rumah saya masuk (ditenggelami) dalam lumpur. Nak bersihkan apa pun saya tak tahu," kata pelawak Ebby Yus yang gagal menahan air mata ketika diundang pada program MeleTOP malam semalam.

Klik untuk gambar besar



Ebby Yus berharap mangsa-mangsa banjir yang ditimpa musibah agar terus kuat dan reda dengan ujian yang berlaku. Ebby berkata, dia sudah berlapang dada apabila kediaman miliknya yang masih dalam pembinaan di Hulu Langat, Selangor dan hanya tinggal 10 peratus untuk disiapkan musnah akibat banjir, Sabtu lalu.

Pada program itu, pengacara Nabil dan Elly Mazlein dilihat turut menangis dengan dugaan yang menimpa pelawak terbabit. Menurut Ebby, segala kekuatan hadir sebaik dirinya masih diberi kesempatan untuk terus hidup walaupun bersusah payah mencari duit untuk membina rumah.

"Sebenarnya orang lain lebih dahsyat ujiannya daripada saya. Jujur saya tak sedih dengan apa yang berlaku kerana sekurang-kurangnya orang tahu yang selama ini tanggapan sesetengah pihak menganggap golongan artis tidak berusaha atau tidak simpan duit, saya adalah individu yang usahakannya.



"Cuma orang kata perancangan kita itu tidak sebaik dengan perancangan Allah. Saya cuba untuk tidak mengalirkan air mata, tapi saya menangis bila tengok orang lain yang lebih dahsyat ujiannya daripada saya. Saya dah biasa dengan ujian ini.

"Saya diuji dengan penyakit hampir dua tahun tetapi apa yang saya bersyukur Allah bagi saya nafas untuk teruskan hidup. Kekuatan ini adalah datang kerana izin-Nya selain sokongan daripada keluarga dan rakan-rakan yang pantas memberikan kata-kata semangat. Allah kirimkan kawan-kawan yang hebat di sekeliling saya," ujarnya lgi.

Ebby sebelum ini dilaporkan terpaksa menanggung kerugian sebanyak RM200,000 akibat kediaman miliknya yang masih dalam pembinaan di Hulu Langat, Selangor musnah dihanyutkan banjir, Sabtu lalu. Ebby berkata, dia tidak berasa ralat atau sedih dengan kejadian banjir yang meranapkan rumah impiannnya itu, tetapi bersyukur kerana Allah masih menyelamatkannya.


         ________________________


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

No comments: